Sunday 13 October 2019

Majlis Graduasi Tahun 6 SK Leftenan Adnan 2019

Majlis Graduasi Tahun 6 SKLA

Semalam, 13 Oktober, saya & isteri telah menghadiri Majlis Peyampaian Sijil Tahun 6 SK Leftenan Adnan bertempat di Bangi Golf Resolt. Hampir 200 orang murid-murid diraikan & menerima sijil tamat sekolah rendah.

Dulu-dulu bila bercerita tentang majlis graduasi atau konvokesyen, biasanya kita dengar ianya hanyalah diperingkat Universiti sahaja, bukan?

Zaman sekarang ini telah berubah, sejak 2 @ 3 tahun lepas majlis seumpama ini telah banyak dilaksanakan di peringkat sekolah lagi seperti Majlis Tamat Sekolah Tahun 6 & Tamat Sekolah Tingkatan 5.

Jam 8.45 pagi, selepas ibubapa memenuhi kerusi2 di dalam dewan, majlis pun bermula dengan perarakan masuk murid2 berjubah biru kuning disusuli dif2 terhormat lengkap berjubah konvokesyen diiringi alunan irama musik gamelan melayu asli.

Seterusnya nyayian lagu negaraku serta bacaan doa, ucapan wakil pelajar yang telah menyentuh hati saya, ucapan guru besar dan ucapan perasmian oleh tetamu kehormat dari UKM. Majlis penyampaian sijil dipecahkan beberapa sidang dan diselang-seli dengan persembahan nyayian & deklarasi sajak oleh murid2 yang hebat2. Pastinya akan terpahat memori indah bagi murid2 tahun 6 SKLA dengan pengisian terbaik pada majlis ini.

Majlis seumpama ini diadakan bertujuan memberi galakan & dorongan kepada murid agar terus berusaha mencapai kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang disamping dapat memberi pengalaman kepada murid menghayati suasana majlis sebagai galakan untuk belajar hingga ke menara gading.

Syabas, Tahniah & Terima Kasih kepada pihak SK Leftenan Adnan di atas kejayaan menganjurkan majlis yang gilang gemilang ini.

#SuaraCakna2019




Wednesday 25 September 2019

Tinta Penulis #SuaraCakna




Tinta Penulis

Minat menulis bermula selepas saya banyak membaca buku bersifat pembangunan diri & kerohanian. Sejak tahun 2009 sehingga sekarang sejumlah kurang lebih 20 naskah telah dibaca. Ada buku yang diulang2 bacaannya beberapa kali. Bila begitu keadaannya, secara autopilot keterujaan perasaan keinginan yang tinggi untuk berkongsi pengetahuan & pengalaman perjalanan hidup ini kepada orang lain dengan harapan agar kita bersama2 berubah kearah kebaikan.

" Sekarang bukan masanya untuk menjadi juara, tetapi sekarang adalah masa untuk sama2 kita menjuarai"

Keadaan ini telah membuatkan tercetusnya idea penulisan di blogspot. Semasa pemilihan nama blogspot, terdetik pula kemahuan dimana suatu hari nanti tulisan ini akan diterjemahkan dengan suara, maka tercetuslah idea #SuaraCakna.
Pada 2016, selepas kurang lebih 2 tahun menulis di blogspot, terdetik pula idea baru bagi mempelbagaikan kaedah penyampaian dan telah akhirnya telah berjaya merakam 19 suara kisah motivasi & tauladan yang dipetik daripada blogspot saya. Rakaman suara itu telah dimuat bersama gabungan latarbelakang musik dalam format MP3. Rakaman ini hanya dikongsi kepada rakan dalam Whatsapp apps sahaja.
Selepas itu saya meneruskan usaha membuat penyuntingan rakaman MP3 tadi dan telah divideokan untuk dikongsikan dalam bentuk video di YouTube. Anda bolehlah tonton "Bicara Santai Suara Cakna" di Channel YouTube saya Suara Cakna. Kalau kalian rasa ianya bermanfaat bolehlah Like 👍 Share 📲 & Subscribe 🔔.

Apapun yang berlaku, saya rasakan peringkat yang lebih awal daripada semua ini adalah bermula daripada kesan usaha dakwah Allahyarham Ayahanda saya iaitu Hj Ibrahim bin Mohammad yg mungkin saya diwarisi. Niat saya adalah untuk meneruskan usaha dakwah ayahanda mengikut kemampuan yang dianugerahkan setakat ini.
Al Fatihah buat Ayahanda tercinta semoga tenang di sana.

Sebenarnya niat untuk menulis buku sendiri telah terdetik sejak 2015 lagi. Saya pernah berkata jika posting saya di blogspot suaracakna.blogspot.com mencapai 100 posting, maka saya akan bukukannya.

"Saya Bersyukur Dan Rasa Gembira kerana Buku pertama Saya Akan Diterbitkan Pada 25/12/2020".  In Sha Allah... Aamiin


Sebenarnya Kita Tahu V2 - Part 3 #DariTahuMenujuRindu

Alhamdulillah syukur kehadrat Allah S.W.T di atas kesempatan yang diberikan kepada diri ini dalam meneruskan penulisan berkenaan tajuk yang dirasakan agak berat pada awalnya dan akhirnya dapat dihayati dengan izinNYA. Moga-moga ia dapat disampaikan dengan bahasa yang santai dan mudah difahami, InsyaAllah.

Dalam bahagian pertama sebelum ini, SC cuba kongsikan tentang peranan akal (minda) dalam memahami sesuatu ilmu. Prosesnya iaitu belajar dan memahami (tahu menuju faham). Ini peringkat pertama.

Peringkat kedua pula adalah menyentuh persoalan akal dan hati iaitu (faham menuju sedar). Kesedaran kebiasaanya akan hadir apabila penghayatan terhadap ilmu itu ditekuni. Selain daripada itu kesedaran juga akan hadir takkala pengalaman diri kita bertambah.

Manakala pada bahagian ini pula akan menyentuh elemen kerohanian iaitu kesedaran mendalam yang akan menatijahkan kepada kecintaan dan kerinduan (sedar menuju rindu) dan inilah yang SC akan cuba perhalusi dalam bahagian ketiga ini.

Kenapa perlunya kita tahu tentang tahap-tahap ilmu ini (iaitu; fahami, hayati, amalkan, sampaikan)?
Dan apakah kaitannya dengan persoalan pokok iaitu; bagaimana kita nak berhijrah atau berubah kearah yang lebih baik?

Perkara asas yang perlu kita tahu adalah tentang ilmu & amal itu sendiri. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Islam amat menitikberatkan soal ilmu & amal. Ilmu tanpa amal umpama pohon tidak berbuah. Segala amal adalah berasaskan ilmu. Amal adalah perkara kita menfungsikan, maksudnya adalah jika kita menfungsikan akal maknanya amal itu adalah berfikir, jika menfungsikan jasmani, amal itu maknanya perbuatan dan jika kita menfungsikan rohani bermakna amal itu adalah perasaan.

Pada pemikiran ilmunya adalah ilmu aqidah, pada perbuatan ilmunya adalah ilmu feqah dan pada sudut perasaan ilmunya adalah ilmu tasawuf. Ketiga-tiga cabang ilmu ini perlu disenergikan yang merupakan kesempurnaan dalam Islam.

Dalam buku Mukmin Profesional (ms: 74) ada menyatakan; Pelaksanaan perubahan diri perlukan kepada gabungan tiga elemen yang berada di dalamdiri kita iaitu akal (tahu), hati (mahu) dan nafsu (mampu). Tiga elemen inilah yang akan membentuk sistem nilai, keyakinan, paradigma seterusnya
tingkahlaku dan sikap seseorang. Ini bermakna untuk mengubah sikap, kita perlu terlebih dahulu mengubah akal, hati dan nafsu. Apa yang SC boleh huraikan adalah, perubahan sikap tidak akan berlaku sekiranya kita hanya sekadar tahu sahaja kerana pengetahuan hanya beradadi akal (minda).

Sebagai contoh, seorang pelajar telah berjaya mendapat pangkat A (mumtaz) dalam subjek pelajaran Feqah, tetapi dia begitu sukar untuk mengerjakan solat. Kenapa perkara ini berlaku? Ini kerana ilmu yang dipelajarinya hanya sekadar berada di minda (tahu), sedangkan untuk mengamalkan ilmu yang dimilikinya, pelajar ini perlu ada penghayatan dan kemahuan (hati).

Bagi mencetuskan tindakan (amalan ilmu), yang kita perlukan bukan sekadar kefahaman tetapi perlu disertai penghayatan terhadap ilmu tadi. Penghayatan itu dirasai dan rasa itu terletaknya di Qalb (hati). Bermakna, peranan hati (jiwa) perlu seiring dengan akal (minda). Di sinilah letaknya niat, fikir, rasa & mahu yang akan mencetuskan kepada tindakan kita. Sekiranya perkara ini kita fahami dan hayati, maka misi hijrah / perubahan sikap kita kearah lebih baik dan misi amalan sesuatu ilmu akan menjadi lebih mudah... Insya Allah.

Bak kata bijak pandai, "Apabila hati disinari nur ilmu, pancaindera lain akan terarah kepada kebaikan".

Persoalanya sekarang kenapa orang yang berilmu susah nak beramal?

Antara sebabnya adalah semasa mempelajari ilmu tersebut tidak menjaga perkara2 yang membawa keberkatan kepada ilmu tersebut. Apakah perkara2 itu? Ia adalah adab terhadap ilmu itu sendiri, niat kita mempelajari ilmu tersebut dan bagaimana adab murid kepada guru semasa mempelajari ilmu. Jika mempelajari ilmu tidak menekankan pada elemen adab maka keberkatan tidak diturunkan oleh Allah SWT.  Maka inilah antara punca ilmu tidak membawa kepada amal.


Monday 2 September 2019

DUIT & Kunci Kejayaan

Assalamualaikum Salam Ukhwah Salam Kasih Sayang

Resepi kejayaan yang sering kita didengari daripada ceramah motivasi diperingkat sekolah mahupun di alam pekerjaan iaitu D.U.I.T.  #DoaUsahaIkhtiarTawakal, bukan?

Secara kebiasaannya keempat2 elemen ini kita fahami ianya perlulah disenergikan diantara pengharapan, kesungguhan dan penyerahan bagi meraih sesebuah kejayaan, bukan?

Bercerita tentang doa, kita pastinya sudah sedia maklum dan diajar tentang sesuatu doa yang lebih mustajab perlu dipohon pada waktu & tempat yang tepat. Waktu mustajab berdoa, tempat mustajab berdoa telah disarankan kepada kita & pastinya kita sudah tahu, setuju?

Semasa mengerjakan Umrah pada Dec 2014 yang lalu, setiap hari saya berdoa dihadapan Kaabah, diulang2 doa yang sama, akhirnya digerakkan suatu petunjuk & kunci iaitu #tingkatkanilmumu. Jika diterjemahkan kata kunci itu dalam bahasa, ianya berbunyi seperti ini: Wahai kamu yang berdoa, kamu pasti akan dapat apa yang kamu hajati dengan syarat tingkatkan tahap ilmu mu. Belajarlah, teruskan menuntut ilmu... masanya akan tiba nanti tepat pada detiknya, tidak lambat & tidak cepat, tapi #tepat.

Benar, sebenar-benarnya DOA perlu, USAHA & IKHTIAR perlu & TAWAKAL perlu. Inilah resepi sesebuah kejayaan. Sejurus pulang daripada tanah suci, semangat untuk menuntut ilmu membuak2 dan setiap langkah perjalanan kearah itu sentiasa dipermudahkanNYA dan akhirnya telah berjaya mengengam segulung anugerah dan seterusnya satu demi satu apa yang dihajati dianugerahkanNYA. Alhamdulillah. Yakinlah, janji Allah itu pasti.

Ayuh, sama2lah kita teruskan usaha, ikhtiar dan yakinlah bahawa menuntut ilmu itu adalah kuncinya. Teruskan memohon doa dan bertawakal kerana melakukan kombinasi perkara ini (D.U.I.T) adalah antara prasyarat dianugerahkan kejayaan oleh Allah SWT. Insyaallah... Aamiin

#SuaraCakna2019


Monday 12 August 2019

Sebarkan Kebaikan, Berikan Manfaat

#TipKaya1
Setiap hari bangun pagi, niatkan hari ni nak bagi kebaikan & manfaat kepada orang lain.

Niatkan nak:

# Jadi hamba Allah SWT yang terbaik
# Jadi umat Nabi SAW yang terbaik
# Jadi anak yang terbaik
# Jadi suami / isteri yang terbaik
# Jadi ayah / ibu yang terbaik
# Jadi adik beradik yang terbaik
# Jadi sahabat yang terbaik
# Jadi pekerja yang terbaik
# Jadi masyarakat yang terbaik
# Jadi diri sendiri yang terbaik

InsyaAllah... Aamiin.


#PesananBuatDiriSendiri
#SuaraCakna2019
13/8/2019 8.00pg @Kajang


Monday 29 July 2019

Sinopsis - Buku Sebenarnya Kita Tahu



BUKU SEBENARNYA KITA TAHU
#DariTahuMenujuRindu

Sinopsis

Karangan ini adalah sebuah coretan perkongsian dari suatu sudut pandangan dan jua pengalaman peribadi dalam mengorak langkah menelusuri perjalanan sebuah kehidupan bagi mencari sesuatu yang telah hilang.

Setiap perjalanan yang panjang pastinya bermula dengan langkah pertama dan perlu diteruskan walaupun jalan berliku, kerana percayalah dihadapan sana pasti ada sinar menanti di penghujung perjalanan ini. Anugerah itu akan dikuniakan olehNYA apabila sampai masa. Yakinlah, ianya akan tiba tepat pada detik, tidak akan lambat dan tidak pula cepat.

Di dalam setiap langkah itulah, kita akan dipertemukan asbab-asbab tertentu, sehinggalah sedikit demi sedikit akan terbuka pintu-pintu kefahaman dalam pelbagai dimensi. Namun, ianya berselari & berkadaran dengan sejauh mana kejujuran dan keinginan diri sendiri untuk memilikinya.


# Kita semua adalah Khalifah

Walaupun zaman Khalifah telah tiada, namun fungsi & peranan Khalifah tetap berterusan sehingga sekarang.

Untuk berdakwah, kita tidak perlu tunggu sehingga kita berstatus seperti Ustaz, Ustazah, Imam muda, Pencetus ummah, ataupun Guru... mungkin antara kita tidak berkelayakan lansung menjadi seperti mereka. Namun, kita perlu menyedari bahawa kita semua adalah khalifah yang merupakan dai'e diatas muka bumi ini. Inilah diantara tujuan asas yang perlu kita disedari kenapa manusia itu diciptakan.

Lantaran itu, cubalah sama-sama kita melaksanakan peranan ini berkadaran dengan kapasiti kemampuan kita. Sampaikanlah walaupun hanya sepotong ayat... kita tak tahu, ada kemungkinan ianya akan menjadi asbab pencetus kepada pembaca yang dikalangan rakan kita amnya mahupun seluruh masyarakat khasnya di dalam proses perubahan peribadi mereka kearah menjadi lebih baik. InsyaAllah.





Saturday 25 May 2019

Memburu Malam Lailatul Qadar

Assalamualaikum, Salam Mawardah 🌷...

Sedang suami khusyuk, tenggelam dalam ibadah memburu malam Lailatul Qadar, si isteri berkecah di dapur menyediakan makanan sahur. Suami beriktiqaf di masjid manakala anak-anak yang masing2 lena di kamar tidur.

Ikut hati kecilnya, pasti teringin benar dia turut bersenang-senang rukuk dan sujud dalam damai hening, mendamba kasih Allah.

"Ciangg..."

Menggoreng pula dia ayam kegemaran anak2.

"Kting, kting, kting..."

Membancuh pula dia, oak dan jus kurma kemestian suami.

"Prak, prak, prak..."

Pinggan dan cawan diangkat dan dihidang ke meja makan.

"Sufyan, Naim, bangun..."

Bergegas dia mencuit anak2 bujang yang tidur di kamar tengah.

"Kakak, adik.. bangun, Solat tahajud, Solat hajat."

Dia menarik selimut yang membaluti badan mereka.

Sedang anak terseguk-senguk melawan ngantuk. Dia kembali ke dapur.

Walaupun pada pandangan kasar, dia tak sempat rukuk dan sujud, mengejar pahala ibadah khusus untuk dirinya. Tetapi dia menjadi asbab suami dan anak-anak dapat ruang mencecah dahi ke lantai menyembah Ilahi.

Percayalah, ramai isteri dalam situasi  begini. Memendam keinginan ibadah sendiri untuk bakti mulia kepada anak-anak dan suami.

Wahai Suami...
Jika kalian sedang beristighfar di atas sejadah. Istighfarlah sekali untuk keampunan isteri.

Wahai Suami...
Jika kalian sedang bersujud meminta hajat dari Allah, mohon sekali dimakbulkan hajat yang didamba si isteri.

Wahai Suami...
Jika menangis berjujuran mohon diampun dosa-dosa, mohon sekali buat isteri yang bertungkus lumus tadi.

Jika berteriak kecil memohon Allah masukkan kalian ke syurga, minta sama istana syurga untuk dia.

Wahai Suami...
Mohonlah pada Allah,

"Ya Allah, apa saja amal yang kau terima daripadaku, ganjari jugalah pahalanya buat isteriku malah lebih lagi buat dia, kerana dia asbab elok sempurna aku beramal."

Hadiahkan mereka, doa kita yang bersungguh-sungguh.

Moga2 bersama-sama sejahtera juga mensejahterakan di Dunia & Akhirat... Aamiin

#SuaraCakna2019
#DariTahuMenujuRindu
#C&PWhattapps


Friday 8 March 2019

Makan Kira Sendiri Seikhlas Hati

Makan Kira Sendiri Seikhlas Hati

Inilah kali pertama ambe dipertemukan dengan sebuah kedai makan yang agak unit. Apa yang unitnya adalah konsep yang diketengahkan iaitu "Makan Kira Sendiri Seikhlas Hati".

Ambe terfokus kepada kata kuncinya iaitu IKHLAS. Pernah dulu terbaca dalam sebuah buku yang menyatakan, sifat ini (IKHLAS) merupakan ibu kepada sifat Mahmudah. Teringat pesan Ayahanda suatu ketika dulu iaitu;
"Ikhlas itu umpama seekor semut yang hitam berada diatas batu yang hitam dimalam yang gelap". Ianya sangat sukar untuk dikesan dan dilihat tetapi itulah nikmatnya bila sifat ini ada dalam diri.

Untuk mengajak orang ramai melakukan kebaikan, kita perlu terlebih dahulu perlu memulakan kebaikan itu. Anugerah yang Allah kurniakan kepada pemilik kedai ini telah ditejemahkan beliau dalam konsep yang digunapakai di kedainya. Secara tidak langsung atau secara automatik pelangan kedai ini akan turut serta dalam melakukan kebaikan dalam kunci kata membina KEIKHLASAN HATI.

Moga-moga Allah SWT anugerahkan juga sifat ini dalam diri kita semua. Semoga kita tergolong dikalangan orang yang ikhlas niat.

Terima Kasih D'LaQu House pencetus inspirasi.

Semoga Allah merahmati kita semua Umat Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wassalam.

#SuaraCakna2019


Monday 28 January 2019

Deen Assalam Agama Pendamaian


Assalamualaikum Salam Kasih Sayang

Cukup indah lirik lagu Deen Assalam / Agama Perdamaian, seindah iramanya...

Hayatilah...

Kalla hadzil ard mataqfii masahah
Seluruh bumi ini akan terasa sempit

Lau na'isibila samahah
Jika hidup tanpa toleransi

Wanta'ayasna bihab
Tetapi jika hidup penuh dengan cinta

Lau tadiqil ardi naskan kalla kolb
Walaupun bumi sempit, kita pasti akan bahagia

Kalla hadzil ard mataqfii masahah
Seluruh bumi ini akan terasa sempit

Lau na'isibila samahah
Jika hidup tanpa toleransi

Wanta'ayasna bihab
Tetapi jika hidup penuh dengan cinta

Lau tadiqil ardi naskan kalla kolb
Walaupun bumi sempit, kita pasti akan bahagia

Abttahiyyat wabsalam
Dengan perilaku yang mulia dan damai

Ansyuru ahlal kalam jainuddan yahtirom
Sebarkanlah rasa hormat dan senyum yang manis

Abmahabbat wabtisam
Dengan cinta dan senyuman

Ansyuru bainil anam hadahu deen assalam
Sebarkanlah kepada semua orang (inilah Islam) agama perdamaian

#DariTahuMenujuRindu
#SuaraCakna2019


Saturday 19 January 2019

Kenapa Datang Lambat?

Assalamualaikum... Salam Sejahtera.
Perkongsian ini sekadar kisah, pengalaman & sudut pandang dari seorang awam...

Hari Isnin... 7.35 pagi
Kelihatan 3 orang pengawas yang sedang bertugas menunggu dihadapan pintu pagar sekolah.

Memang menjadi rutin setiap hari SC akan masuk ke dalam kawasan sekolah untuk menghantar beg & baju sekolah ke bilik transit untuk anak bongsu yang bersekolah disitu sesi petang. Sekolah agama ni ada menyediakan kemudahan transit untuk pelajarnya dalam kawasan sekolah. Murid2 sesi pagi atau petang akan berehat didalam bilik transit, mandi, makan tengahari, salin baju selepas tamat waktu sekolah. Pengankutan dua hala sesi petang persekolahan juga disediakan oleh pihak transit sekolah. Bagus betul sekolah SRA ini, menyediakan kemudahan sebegini. Terima Kasih & tahniah pihak sekolah.

Berbalik cerita pengawas tadi, setiap murid yang datang lambat (selepas 7.30 pagi) akan ditanya oleh pengawas "Kenapa datang lambat?"

SC sempat perhatikan beberapa jawapan jujur daripada murid yang ditanya, antaranya adalah:
"Mak lambat bangun tidur"
"Ayah bangun lambat"
"Mak siapkan kuih"
"Mak siapkan adik"
"Ayah yang lambat hantar"

Kebanyakan jawapan adalah lambat disebabkan orang lain, pastinya mak & ayah disalahkan. Memang jawapan anak2 ni jujur. Anak2 umur 7-9 tahun biasanya tak pandai reka jawapan. Pasti betul jawapan mereka.

Secara fitrahnya pula, lumrah manusia jarang2 kita jumpa jenis yang mengaku salah diri sendiri, mesti cuba cari alasan salahkan orang lain. Bukan?

Pada pandangan SC, jawapan spontan kebanyakan daripada murid tadi adalah bersifat negatif, Kenapa begitu? Kerana soalannya juga bersifat negatif.
"Kenapa Datang Lambat?"

Fokus adalah perkataan lambat. "Lambat" merupakan perkataan yang bersifat negatif manakala lawannya "Awal" pula bersifat positif.

Hari Selasa... 7.40 pagi
Selepas menghantar beg dan baju sekolah, SC menegur & bertanya kepada pengawas2 tadi.

"Assalamualaikum adik. Bagus adik2 semua telah jalankan tugas dengan baik. Good work..." (sambil menunjukan jari bagus)

"Boleh ke boleh, mulai esok adik tukarkan soalan yang adik tanya "Kenapa datang lambat", kepada soalan "Esok awak datang awal, boleh?"

Sebabnya, bila kita tanya soalan bersifat positif, ianya seperti kita mendoakan mereka agar datang lebih awal. Pakcik yakin, mereka pasti akan jawab "BOLEH".

OK pakcik, esok kami buat. Terima kasih pakcik...

Hari Khamis... 7.38 pagi
"Nama apa?". Esok datang awal, boleh?". Kata pengawas kepada pelajar yang datang lambat sambil mencatat nama pelajar tersebut dibuku.

SC cuma tersenyum... sambil SC menyapa pengawas tadi... "Nama Pakcik tak nak tulis ke? Pakcik pun lambat ni... Nama Pakcik Fatah Amin..."

"Fuyoo... Fatah Amin"... reaksi spontan pengawas2 tadi.

Suasana hari ini lebih harmoni berbanding hari isnin & selasa lalu.

Hari Jumaat... 07.40 pagi
"Hai, Pakcik Fatah Amin...
"Assalamualaikum semua adik2 comel... Macamana hari ni? Ramai lagi ke yang datang lambat?
"Dah semakin kurang dah, pakcik.
"Alhamdulillah... Bagus semua.

OK bye... Pakcik pergi dulu... Assalamualaikum...

#FikirPositifCakapPositif
#CakapPositifBuatPositif
#BuatPositifDapatPositif
#SekadarCeritakuDihujungMinggu
#SuaraCakna2019


Friday 4 January 2019

2019 #DariTahuMenujuRindu

Assalamualaikum Salam Ukhwah,

Tahu hanya ada pada AKAL selepas mempelajari & memahami ilmu, manakala rindu pula pada HATI selepas menghayati & mengamalkan ilmu. Akal merupakan Bendahara manakala hati pula adalah Raja di dalam institusi kerajaan diri. Raja akan bertindak selepas mendapat nasihat daripada Bendahara. Jika baik nasihat itu, maka baiklah keputusan yang akan dibuat oleh Raja. Begitulah peranan akal & hati dalam kerajaan diri kita. Rakyat jelata yakni (pancaindera) hanya bertindak mengikut perintah daripada Raja.

Jika tangannya menghulur derma, orang akan kata, murah hati dia.

Jika percakapannya sopan santun, suka menolong atau sentiasa menghormati orang maka orang akan kata baik hati dia. Rajalah yang akan sentiasa dipuji & disanjung.

Maka, jagalah hati kita baik2, baiknya hati maka baiklah seluruh pancaindera, rosaknya hati, maka rosaklah institusi kerajaan diri.

"Wahai Bendahara, nasihatilah Raja baik2, semuanya bermula daripada nasihat kalian". Jika Bendahara menjalankan tugasnya dengan cemerlang, maka Raja akan berfungsi dengan bijak dan akhirnya akan menatijahkan Akhlak & peribadi yang mulia.

Bermula daripada Fikir (Akal)
Disenergikan dengan Zikir (Hati)
Menatijahkan Akhlak Terpuji (Adabiyah Muhamadiyah)

Moga2 Bermanfaat...


#Fikir&Zikir
#Akal&Hati
#DariTahuMenujuRindu
#SuaraCakna2019