Sunday 29 June 2014

Pengertian Taubat

Taubat adalah kembali taat kepada Allah s.w.t dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta memohon keampunan dari Allah. Setiap individu disuruh bertaubat untuk menyucikan diri dari dosa besar dan kecil, sama ada dilakukan dengan sengaja mahupun tidak.

Hukum bertaubat adalah wajib sama ada dosa kepada Allah s.w.t mahupun dosa sesama manusia. Jika dosa itu berkaitan dengan manusia, hendaklah meminta maaf daripada manusia terbabit. Sekiranya dosa berkaitan dengan harta benda, hendaklah dikembalikan harta tersebut kepada tuannya.

Bertaubat kepada Allah hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati yang ikhlas kerana taubat yang tiada keikhlasan tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap individu terbabit. Taubat yang terbaik adalah taubat yang penuh penyesalan, keinsafan dan rasa rendah diri kepada Allah s.w.t. Di dalam Islam, digariskan cara-cara memohon keampunan dan rahmat Allah s.w.t :

1. Menyesal, menginsafi & berazam tidak akan mengulangi dosa yang telah dilakukannya
2. Beristighfar memohon keampunan Allah s.w.t
3. Beramal kebajikan
4. Mensyukuri nikmat Allah s.w.t.
5. Berdoa memohon kesejahteraan hidup di dunia & hari Akhirat

(sumber rujukan: wikipedia.org)
http://ms.m.wikipedia.org/wiki/Taubat_menurut_Islam

Saturday 28 June 2014

Koleksi Cerita Tauladan - Kuburnya Bercahaya Menjulang Ke Langit

Suatu kisah yang diceritakan dalam tazkirah ramadhan yang sangat mengharukan dan bisa menitis air mata.

Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba ia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia merasa sedikit ketakutan dan berdebar.

Terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Samada ia seorang waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi tuhan. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu.

Keesokannya lelaki itu datang lagi kekawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.

Apakah seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal?.

Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok dihujung kampung bersama isterinya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut , lelaki itu berkunjung kerumah simati dan bertemu dengan isteri simati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat diperkuburan suaminya.

Anihnya isteri simati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenal suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa . Suaminya seorang petani kecil. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru quran. Malah suaminya tidak pandai membaca quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca quran. Hal ini benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut dan isteri simati.

Akhirnya lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara anih yang simati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya. Akhirnya isteri simati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam. Katanya , setiap malam sebelum tidur suaminya akan mengambil wudhu, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya alqur'an di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Ia akan duduk dan membelek alqur'an itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan ia seorang yang buta alqur’an. Dia akan meraba-raba ayat-ayat qur’an itu dengan tangannya , seolah-olah sedang menyentuh dan mebelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah isteri simati lagi, ia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah mu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.” “Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu.

Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu. “ “Wahai Kalamullah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapanTuhan diakhirat nanti”. Cerita isteri simati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani alqur’an buah hati kesayangannya.

Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat alquran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila ia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas airmata di kertasnya ,tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh alqur’an. Dia sangat mengasihi kalimat tuhan dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya. Marilah kita menghidupkan alquran di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri kita, sepanjang bulan ramadhan, bulan pengampunan ini.

Perkisahan ini ditulis dan disesuaikan semula untuk bacaan semua.

Sunday 22 June 2014

Koleksi Cerita Tauladan - Kisah Dakwah Si Anak Kecil

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah dakwah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya seraya berkata “Ayah! Saya dah bersedia”.
Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa?”.
“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah”.
“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”.
“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”
Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”
Dengan merintih anaknya merayu “Kalau begitu, benarkan saya pergi ayah?”
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya.
“Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”
“Terima kasih Ayah” Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu, namun gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.
Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Dan akhirnya pintu rumah itu dibuka.
Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih.
“Nak, apa yang makcik boleh bantu?”
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
“Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah”. Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.
“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu.” kata makcik itu dalam nada yang penuh lembut.

Minggu berikutnya sebelum khutbah solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan sedikit tazkirah.
Sebelum selesai tazkirahnya dia bertanya “Ada sesiapa nak bertanya atau menyatakan sesuatu.”
Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu.

“Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini”. Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.
“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”.
“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”.
“Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik” itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar”.
“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka…..Aku tak perlukan itu lagi”.
“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu, ALLAH Maha Esa.
Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka”

Semua para jemaah mengalirkan air mata. Mereka mengucap syukur pada Allah. Ramai juga yang bertakbir, ALLAHUAKBAR!
Imam lantas meluru menuju ke arah anaknya dan terus memeluk anaknya yang berada di bahagian saf hadapan dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.
Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.


Posted via Blogaway

Tuesday 17 June 2014

Koleksi Cerita Tauladan - Kisah Perangkap Tikus

Sepasang suami dan isteri petani pulang kerumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam, “hmmm… makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar agaknya?”
Ternyata, yang dibeli oleh petani hari itu adalah perangkap tikus. Sang tikus naik panik bukan kepalang.

Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, “Ada perangkap tikus di rumah! Di rumah sekarang ada perangkap tikus!!” Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, “Ada perangkat tikus!” Sang Ayam berkata, ” Tuan Tikus, Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku.”
Sang Tikus lalu pergi menemui seekor kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, “aku pun turut bersimpati, tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku.”
Tikus lalu menemui lembu. Ia mendapat jawapan sama. “Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus?”
Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui ular. Sang ular berkata, “Eleh engkau ni. Perangkap tikus yang sekecil itu takkanlah nak membahayakan aku.”

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Ekor ular yang terperangkap membuatkan ular itu semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.
Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya ke klinik berhampiran. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun tetap sahaja demam.
Isterinya lalu minta dibuatkan sup kaki ayam oleh suaminya kerana percaya sup kaki ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapatkan kaki buat sup.
Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya.
Beberapa hari selepas itu maka sembuhlah isterinya dan si Suami sungguh gembira dan ingin membuat majlis kesyukuran. Si Suami pun menyembelih lembunya dan mengadakan majlis kesyukuran.
Dari kejauhan, Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat perangkap tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

Begitulah kisahnya. Jadi pengajarannya, jika suatu hari, anda mendengar seseorang dalam kesusahan dan anda pula mengira itu bukan urusan anda, fikirkanlah sekali lagi.


Posted via Blogaway

Sunday 8 June 2014

Habit Membentuk Karektor.

Salam keceriaan buat semua.

Di dalam meneruskan langkah perjalanan hidup ini, disebalik usaha menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam dan urusan hari ini lebih sempurna dari urusan hari semalam, SC seringkali ditemukan dengan ilmu pengetahuan tambahan yang bertandang ketika saat diri ini memerlukan pencerahan. Semasa timbul persoalan diminda ini, pasti ada saja jawapan mendatang. Alhamdulillah, semuanya anugerah daripada Maha Pencipta. Salah satu ilmu atau pencerahan yang berharga yang telah diketemukan melalui seorang sahabat seperjuangan. Beliau berkongsi petikan sebuah buku yang beliau miliki iaitu:

"Kawal PEMIKIRAN anda kerana ia akan menjadi KATA-KATA anda".
"Kawal kata-kata anda kerana ianya akan menjadi TINDAKAN anda".
"Kawal tindakan anda kerana ianya akan menjadi HABIT @ TABIAT anda".
" Kawal habit anda kerana ianya akan membentuk KAREKTOR @ WATAK anda".
"Kawal karektor anda kerana ianya akan menentukan TAKDIR anda".

SC merasakan kata-kata ini begitu memberi inspirasi dan ianya seolah-olah menjawab kemusykilan minda pada tika itu. Berdasarkan sudut pandang dan pengalaman yang boleh SC rumuskan dan kongsikan adalah:

1. Segala hasil yang kita raih hari ini memang kena-mengena dengan cara pemikiran kita iaitu bermula dengan niat kita, keinginan kita, keazaman, objektif dan matlamat kita. "It all about your mind".

2. Seterusnya kata-kata yang terbit dari bibir kita dan juga segala tindakan yang kita lakukan adalah berdasarkan apa yang kita fikirkan dan rasakan. Teringat mutiara kata Prof Dr. Muhaya iaitu "Dunia dalaman kita menentukan dunia luaran kita yakni fikiran dan emosi kita menentukan tindakan kita yang akan menentukan hasil kehidupan kita iaitu kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kewangan kita".

3. Sesuatu rutin harian atau perkara kelaziman ataupun amalan yang biasa kita lakukan secara konsisten akan menjadi HABIT @ TABIAT kita.
"Tabiat anda akan membentuk Karektor anda".
Pernah tak kita dengar orang kata? "Kau ni buang "tebiat" ke? Orang yang mengenali kita biasanya akan bertanya sekiranya kita lakukan sesuatu perkara baru yang kita tak pernah lakukan sebelum ini. Contohnya kita mendahulukan salam, bertanya khabar dan senyum bila jumpa kawan pejabat atau jiran. Sebelum ini kita tak pernah pun lakukanya. Tentulah anggapan mereka pada awalnya sesuatu yang pelik, tapi kalau setiap hari kita lakukan perkara yang sama, "kepelikan" itu akan makin berkurang dan ianya akan jadi perkara biasa. Bagi kita perkara itu telah menjadi habit dan  seterusnya karektor kita akan berubah dengan bertambahnya habit positif yang baru itu. Kalau orang kata "kau ni buang tebiat ke"?  Kita jawab kepada dia, "saya bukan buang "tebiat" tapi menambah tabiat baru.

Antara habit baru yang telah berjaya SC lakukan iaitu mengubah tabiat merokok kepada tidak merokok. Pada peringkat awalnya memang berlaku "conflic of habit". Lama-kelamaan amalan tidak merokok telah menjadi habit baru, Alhamdulillah, doakan semoga istiqamah.
SC juga telah berjaya menambah beberapa koleksi habit positif baru dalam usaha transformasi diri menjadi lebih baik. Walaupun pada permulaannya memang agak sukar tetapi alhamdulillah berkat doa, usaha, kesabaran, tawakkal,  sekarang ni boleh dikatakan memang sudah menjadi satu kebiasaan.

4. Seterusnya, karektor seseorang boleh berubah bergantung kepada perubahan kepada tabiat mereka. Pilihlah untuk melakukan amalan-amalan baik seperti amalan sunnah nabi kita SAW secara konsisten atau istiqamah seperti menunaikan solat diawal waktu dan berjemaah, solat sunat tahajud, solat sunat dhuha, beristighfar, berzikir dan sebagainya.

Berterusanlah dalam amal, kerana kemanisan hanya ada dalam menu istiqamah. Semoga kita digolongkan dalam golongan ini.

Perkongsian ini sekadar cerita dari sudut pandang dan pengalaman SC sahaja. Sama-samalah kita sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini bagi meraih kebahagiaan dunia dan juga akhirat.

Sekian. Wassalam


$C ~ Suara Cakna ~

Sunday 1 June 2014

Ramadan Bulan Terbaik Untuk Berhenti Merokok.

Salam sejahtera buat semua.

Dalam tempoh 26 hari lagi seluruh umat islam akan menyambut Ramadan dan menunaikan ibadah puasa. Semoga kita semua dipanjangkan umur untuk bertemu bulan Ramadan yang penuh keberkatan pada tahun ini.

Pada posting kali ini SC nak kongsikan secebis pengetahuan dan pengalaman tentang "berhenti merokok".

Pada 2 Julai 2013, iaitu seminggu sebelum Ramadhan tahun lalu, tarikh itu merupakan detik yang menjadi kenangan terindah dalam hidup SC kerana tarikh itu merupakan hari pertama SC bebas daripada merokok setelah 20 tahun menjadi perokok tegar.
Syukur Alhamdulillah, sehingga kehari ini sudah hampir setahun SC berjaya bebas daripada tabiat merokok.

Teringat petikan dalam buku "Dimana Dia Dihatiku" tulisan Pahrol Mohd Juoi iaitu;. "Untuk mencapai apa yang diinginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal, berubah hanya apabila terpaksa.
Perokok yang tegar yang memaksa dirinya untuk tidak merokok akan berjaya, manakala yang terus berdegil akan terus merokok hinggalah diberitahu bahawa dia menghidap barah paru-paru".

Itulah dia... rela atau terpaksa? Nak tak nak inilah hakikatnya.
Apabila niat kita betul, fikir kita betul, kaedah kita betul, InsyaAllah hasilnya baik.

Berikut adalah antara fakta-fakta menarik daripada pelbagai sumber en google yang telah SC ringkaskan dan nak kongsikan;

~ Pada bulan puasa umat islam yang merokok dapat menahan diri daripada merokok hampir 13 jam selepas bersahur hingga berbuka puasa. Perkara ini membuktikan bahawa orang yang merokok mampu berhenti melakukan perbuatan itu jika ada kesungguhan.
~ Suasana dan rutin harian berubah apabila tiba Ramadan yang dilihat sangat kondusif dalam membantu perokok mengubah tabiat ketagihan seterusnya berusaha berhenti merokok berbanding bulan lain.
~ Hasil kajian mendapati lebih 95% perokok muslim menyatakan mudah untuk berhenti merokok pada bulan Ramadan.
~ Pengalaman pakar perubatan mendapati, Ramadan memberi kelebihan kepada mereka yang berhajat meninggalkan tabiat merokok. Oleh itu sewajarnya umat islam mengambil peluang ini.

Berikut adalah tips bagaimana untuk berhenti merokok cara betul dan berkesan?

1. Faktor yang paling penting adalah keinginan anda untuk menjadikannya satu kenyataan. Seperti sebuah kereta, keinginan merupakan engin yang mengerakkan kereta tersebut. Lebih hebat engin tersebut, maka lebih lancar dan mantap perjalanan kereta itu.
2. Tetapkan matlamat bebas rokok juga target tarikh untuk berhenti merokok. Kalau ikut cara SC ialah dengan menulis matlamat ini setiap hari selama 21 hari. SC tulis macam ni: "Saya bersyukur dan rasa gembira kerana telah berjaya berhenti merokok sebelum 25/12/2013". Dengan cara menulis akan menguatkan akar fikiran terhadap visi tersebut. It's all about your mind.
3. Yakin diri dan kuatkan azam untuk berhenti merokok.
4. Sentiasa berfikiran positif. Fokus kepada apa yang ingin dicapai.
5. Dapatkan sokongan daripada keluarga tersayang dan juga sahabat anda. MENYOKONG GAYA HIDUP SIHAT.
6. Amalkan tips 13M untuk berhenti merokok.

Tips Berhenti Merokok 13M;

1. Melengah-lengahkan iaitu cakap pada diri sendiri tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar sehinggalah anda tidak merasa ketagihan merokok.
2. Menarik nafas panjang iaitu tarik nafas 3 kali secara perlahan-lahan.
3. Minum air dengan kuantiti yang banyak terutamanya air masak. Elakkan minuman berkafein seperti nescafe dan kopi.
4. Menyibukkan diri dengan berbuat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok.
5. Menjauhkan diri daripada orang yang merokok. Cuba jauhkan diri dengan rakan yang merokok sehingga anda benar-benar telah berjaya untuk berhenti merokok.
6. Mengelakkan diri daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok seperti berkumpul atau lepak bersama kawan yang merokok.
7. Mengunyah sesuatu seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis.
8. Membasuh tangan selalu.
9. Mandi dengan kerap.
10. Meregangkan otot dengan melakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk.
11. Meditasi iaitu dengan menenangkan diri supaya dapat berfikir dengan rasional.
12. Memohon doa iaitu berdoa kepada Tuhan agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha untuk berhenti merokok buat selama-lamanya. Untuk berjaya perlukan Doa + Usaha + Istiqamah + Tawakal.
13. Mengambil Niquitin, sekiranya perlu. Niquitin boleh beli di semua farmasi. https://www.niquitin.com.my

Selamat berusaha dan semoga kita semua  berjaya mengamalkan cara hidup yang sihat sepenuhnya.


Posted via Blogaway