Alhamdulillah syukur kehadrat Allah S.W.T di atas kesempatan yang diberikan kepada diri ini dalam meneruskan penulisan berkenaan tajuk yang dirasakan agak berat pada awalnya dan akhirnya dapat dihayati dengan izinNYA. Moga-moga ia dapat disampaikan dengan bahasa yang santai dan mudah difahami, InsyaAllah.
Dalam bahagian pertama sebelum ini, SC cuba kongsikan tentang peranan akal (minda) dalam memahami sesuatu ilmu. Prosesnya iaitu belajar dan memahami (tahu menuju faham). Ini peringkat pertama.
Peringkat kedua pula adalah menyentuh persoalan akal dan hati iaitu (faham menuju sedar). Kesedaran kebiasaanya akan hadir apabila penghayatan terhadap ilmu itu ditekuni. Selain daripada itu kesedaran juga akan hadir takkala pengalaman diri kita bertambah.
Manakala pada bahagian ini pula akan menyentuh elemen kerohanian iaitu kesedaran mendalam yang akan menatijahkan kepada kecintaan dan kerinduan (sedar menuju rindu) dan inilah yang SC akan cuba perhalusi dalam bahagian ketiga ini.
Kenapa perlunya kita tahu tentang tahap-tahap ilmu ini (iaitu; fahami, hayati, amalkan, sampaikan)?
Dan apakah kaitannya dengan persoalan pokok iaitu; bagaimana kita nak berhijrah atau berubah kearah yang lebih baik?
Perkara asas yang perlu kita tahu adalah tentang ilmu & amal itu sendiri. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Islam amat menitikberatkan soal ilmu & amal. Ilmu tanpa amal umpama pohon tidak berbuah. Segala amal adalah berasaskan ilmu. Amal adalah perkara kita menfungsikan, maksudnya adalah jika kita menfungsikan akal maknanya amal itu adalah berfikir, jika menfungsikan jasmani, amal itu maknanya perbuatan dan jika kita menfungsikan rohani bermakna amal itu adalah perasaan.
Pada pemikiran ilmunya adalah ilmu aqidah, pada perbuatan ilmunya adalah ilmu feqah dan pada sudut perasaan ilmunya adalah ilmu tasawuf. Ketiga-tiga cabang ilmu ini perlu disenergikan yang merupakan kesempurnaan dalam Islam.
Dalam buku Mukmin Profesional (ms: 74) ada menyatakan; Pelaksanaan perubahan diri perlukan kepada gabungan tiga elemen yang berada di dalamdiri kita iaitu akal (tahu), hati (mahu) dan nafsu (mampu). Tiga elemen inilah yang akan membentuk sistem nilai, keyakinan, paradigma seterusnya
tingkahlaku dan sikap seseorang. Ini bermakna untuk mengubah sikap, kita perlu terlebih dahulu mengubah akal, hati dan nafsu. Apa yang SC boleh huraikan adalah, perubahan sikap tidak akan berlaku sekiranya kita hanya sekadar tahu sahaja kerana pengetahuan hanya beradadi akal (minda).
Sebagai contoh, seorang pelajar telah berjaya mendapat pangkat A (mumtaz) dalam subjek pelajaran Feqah, tetapi dia begitu sukar untuk mengerjakan solat. Kenapa perkara ini berlaku? Ini kerana ilmu yang dipelajarinya hanya sekadar berada di minda (tahu), sedangkan untuk mengamalkan ilmu yang dimilikinya, pelajar ini perlu ada penghayatan dan kemahuan (hati).
Bagi mencetuskan tindakan (amalan ilmu), yang kita perlukan bukan sekadar kefahaman tetapi perlu disertai penghayatan terhadap ilmu tadi. Penghayatan itu dirasai dan rasa itu terletaknya di Qalb (hati). Bermakna, peranan hati (jiwa) perlu seiring dengan akal (minda). Di sinilah letaknya niat, fikir, rasa & mahu yang akan mencetuskan kepada tindakan kita. Sekiranya perkara ini kita fahami dan hayati, maka misi hijrah / perubahan sikap kita kearah lebih baik dan misi amalan sesuatu ilmu akan menjadi lebih mudah... Insya Allah.
Bak kata bijak pandai, "Apabila hati disinari nur ilmu, pancaindera lain akan terarah kepada kebaikan".
Persoalanya sekarang kenapa orang yang berilmu susah nak beramal?
Antara sebabnya adalah semasa mempelajari ilmu tersebut tidak menjaga perkara2 yang membawa keberkatan kepada ilmu tersebut. Apakah perkara2 itu? Ia adalah adab terhadap ilmu itu sendiri, niat kita mempelajari ilmu tersebut dan bagaimana adab murid kepada guru semasa mempelajari ilmu. Jika mempelajari ilmu tidak menekankan pada elemen adab maka keberkatan tidak diturunkan oleh Allah SWT. Maka inilah antara punca ilmu tidak membawa kepada amal.
Bukan siapa kita, tapi apa yang kita lakukan walau siapapun kita, yang bakal menetukan siapa kita hari ini.
Wednesday, 25 September 2019
Sebenarnya Kita Tahu V2 - Part 3 #DariTahuMenujuRindu
Location:
Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment