Friday, 23 October 2015

Kisah Tikus dan Ahli Sihir

Ada satu cerita yang boleh menggambarkan betapa kuatnya peranan HATI dalam kehidupan.

Seekor tikus telah bersahabat dengan ahli sihir. Pada suatu hari, tikus mengadu yang dia sentiasa diburu oleh seekor kucing yang ada di rumah itu. Lalu ia memohon kepada ahli sihir untuk menukar dirinya menjadi seekor kucing yang besar.

"Permintaannya ditunaikan. Tikus sekarang telah ditukar menjadi kucing besar dan ia memburu kucing di dalam rumah tersebut".

Tikus yang bertukar menjadi kucing itu kemudian keluar dari rumah. Di luar rumah ia diburu oleh seekor anjing. Ia lari ketakutan dan terus menemui ahli sihir minta ditukarkan menjadi seekor anjing yang lebih besar. Ahli sihir pun menunaikan permintaannya. Tikus yang bertukar menjadi anjing besar itupun mengejar anjing tersebut. Tetapi tidak lama kemudian, anjing yang besar itu dibaling batu oleh seorang budak di kawasan itu. Tikus yang bertukar anjing itupun lari lintang-pukang.

"Tolong tukarkan saya menjadi budak yang lebih besar", pintanya kepada ahli sihir.

Tetapi kali ini ahli sihir mengelengkan kepalanya sambil berkata, "Tidak ada gunanya aku menukarkan bentuk kamu kepada yang lain..."

"Sebab apa?" Tikus itu bertanya.

"Sebab walaupun rupa paras kamu boleh diubah, tetapi hati kamu tetap hati tikus!"

Itulah peranan hati. Walaupun fizikal boleh berubah, tetapi jika hati tidak berubah, kita tidak boleh memanfaatkan apa sahaja.

Semoga mendapat pengajaran dan manfaat daripada kisah ini.


# cnp
# suaracakna.blogspot.com


No comments:

Post a Comment