Skrip dan adab majlis pertunangan bagi pihak lelaki.
Terima Kasih kepada Saudara Hamka. Izinkan saya C&P tulisan saudara berkenaan skrip dan adab majlis pertunangan bagi pihak lelaki yg saya baca di https://m.facebook.com › posts
(Skrip majlis pertunangan pihak lelaki)... - Hamka (Kereta Mayat) | Facebook.
Ini hanyalah bertujuan memudahkan rujukan saya yang semakin "kepakcikan" ini. Terima kasih sekali lagi, moga2 tuan Hamka dipermudahkan segala urusan dan berbahagia sentiasa... Aamiin.
(Skrip dan adab majlis pertunangan bagi pihak lelaki)
1. Pakai baju biar beradab, baju melayu bersampin pun boleh, pakai baju batik bersongkokpun boleh. Waktu sampai rumah perempuan, juru pantun elok pegang hantaran cincin dan mengetuai rombongan perjalanan.
2. Sampai sana, bersalaman dan tentu mereka jemput masuk, korang pun duduklah tempat yang dah disediakan.
3. Tuan rumah akan mulakan majlis, mereka mungkin akan bertanya tujuan datang dalam bentuk pantun, atau kata-kata puitis, bila mereka izinkan pihak lelaki bercakap, mulakan dengan ucapan pembukaan seperti:
“Asalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, terima kasih kepada seisi tuan rumah kerana sudi menyambut kedatangan kami dengan:
Hati Yang Terbuka, Dada Yang Lapang,
Wajah Yang Ceria, Kedatangan Di Raikan.
Alhamdulillah, Syukur pada Allah atas segala nikmat, dapat kita berkumpul di majlis yang penuh berkat, amin.”
4. Dah habis mukadimah, Boleh mulakan dengan pantun pembuka:
“Dari Terengganu Ke Pantai Barat,
Hendak Menangkap Sekawan Ikan,
Kami Datang Membawa Hajat,
Hendak Menyunting Bunga Di Taman.”
5. Lepas tu taaruf (kenalkan diri):
“Sebelum itu elok saya perkenalkan diri, Saya (nama) mewakili yang dihormati abang ipar saya Encik S dan kekanda yang saya cintai Puan N bagi pihak anak saudara saya yang bernama (masukan nama pengantin lelaki)
Al kisahnya sejak beberapa purnama yang lalu, kekanda saya yang dicintai mengadu bahawa si anak terunanya sedang mabuk dilanda angau asmara, makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah dan dalam mimpi mengigau ngigau menyebut nama (masukan nama pengantin perempuan)
Jadi tujuan besar kami datang adalah untuk menyambung ikatan silaturahim antara dua keluarga. Lagipun adalah Sunnah nabi, bertanya dahulu- adakah (masukan nama pengantin perempuan) sudah berpunya? Jika belum berpunya saya secara rasmi bagi pihak tuan badan ingin masuk meminang, insyaAllah…”
6. Begitu lebih kurang takruf dan mukadimah pertunangan, bila pihak perempuan jawab, dan kita anggap mereka sudah terima, maka boleh sediakan pantun terima:
"Buah kelapa pohonnya condong, baru sekarang hendak berbuah
Sudah lama niat kami kandung, baru sekarang dizinkan Allah."
7. Lepas tu boleh cerita tentang tanda pertunangan.
“Alhamdulillah, pihak kami sangat bersyukur atas penerimaan pihak tuan rumah, maka pertunangan sudah tentu ada tanda-tandanya,
(sambil hulur cincin, boleh hulur sembahan sirih dengan pantun di bawah)
“Setapak sirih, tanda hati bersih, Seulang pinang, tanda hati sayang
Secalit kapur, tanda hati jujur, sebentuk cincin, tanda pertunangan”
8. Waktu ini biasanya cincin akan di serahkan kepada pihak perempuan belah sana, bila pihak mereka dah terima cincin, boleh sambung skrip:
“Alhamdulillah, Pinangan sudah diterima, cincin tanda pinangan juga sudah di terima, maka sudah menjadi adat, setiap pertunangan ada syarat-syaratnya, jadi kami pihak lelaki nak bertanya tiga soalan.
Bila dimana tempat berhajat
Berapa nilai, hantaran bersyarat?
9. Waktu ini perbualan mungkin akan menjadi tidak formal sebab tak tahu nak bincang mana dulu? Hantaran ke? Maskahwin ke? Tarikh kahwin bila? Tempat di mana? Jadi waktu ini follow jer tuan rumah nak bincang mana dulu, jika tuan rumah banyak diam, boleh pihak lelaki bagi tarikh cadangan dan tempat majlis bagi pihak lelaki, lepas tu bincang tentang hantaran, waktu itu mungkin dah tak perlu pantun pantun, follow jer the flow. Sembang santai sahaja. Yang penting:-
10. Pastikan jumlah hantaran(belanja hangus untuk majlis kenduri) dan maskahwin(khas untuk siteri) di sebut jelas dan Tarikh majlis bagi pihak lelaki dan perempuan juga di sebut jelas, jika tidak jelas, boleh sebut tempoh pertunangan dengan jelas.
11. Bab Mahar dan hantaran tu, ada tempat yang gabung sekaligus hantaran dan maskahwin, jadi follow jer the flow. jika tak de idea boleh minta ibu bapa pengantin tambah pendapat dan suara masing masing, bagi peluang orang tua-tua bercakap sama.
12. Hujung majlis boleh serahkan beberapa dulang hantaran iringan sebagai hadiah sampingan. Atau majlis sarung cincin dari ibu pengantin lelaki ke jari bakal pengantin perempuan.
13. Ada jugak kes, meraka ajak bincang bab pertunangan separuh jalan, skripnya lebih kurang:
“Sesunggunya jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Sekiranya putus pertunangan atau jodohnya tidak kesampaian, semoga tali persaudaraan tetap kita kekalkan. Untuk itu tiada dakwa-dakwi. Segala apa yang diberi dan diterima, diberi dan diterima dengan ikhlas. Namun begitu marilah kita berdoa agar niat murni kita diberkati oleh Allah s.w.t. Semoga jodohnya kekal selamanya”
14. Ok begitulah lebih kurang skrip, awal awal jer nak ikut skrip, bila dah lajak jalan berbahasa, korang akan selesa sendiri, jika pihak sana banyak berpantun ni ada beberapa stok pantun untuk di jual beli:
Negeri Terengganu di tepi pantai,
Tempat mandi ikan tembakul,
Yang kita hajat sudah tercapai,
Yang kita doakan sudah terkabul.
Lagi pantun:
Negeri tuan sungguh indah,
Semua cantik tidak terperi,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati
Nak lagi pantun?
Tanam mayat jauh ke tengah,
Batu nisan bercabang dua,
Hancur mayat dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.
Woha!
15. Jadi begitulah lebih kurang adat dan adab dalam majlis merisik dan bertunang, bagi pihak Clever Girl, hantaran tu jangan tinggi sangat, sebab ada hadis bagitahu, wanita mulia apabila cepat kahwin, cepat beranak dan murah mas kahwinnya.
16. Pertunangan itu Sunnah, dan Sunnahnya jangan lama sangat bertunang, tunang tanda ikat sementara kerana pihak Boboboy ada urusan yang perlu diselesaikan maka dalam tempoh bertunang tak bolehlah orang lain nak rampas.
17. Dah bertunang juga bukan tiket untuk bebas bercouple, hukum haram tetap sama macam belum bertunang, jadi jangan hampiri zina.
18. Masa bertunang banyakkan belajar urusan rumah tangga terutama bab bab agama, sebab perkahwinan ni kita nak bawa sampai ke syurga.
Okey, moga2 bermanfaat...
Sekian
Bukan siapa kita, tapi apa yang kita lakukan walau siapapun kita, yang bakal menetukan siapa kita hari ini.
Thursday, 6 February 2020
Skrip & Adab Majlis Pertunangan Pihak Lelaki.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment