Salam Sejahtera,
Buku pembangunan diri yang berjudul DIMANA DIA DIHATIKU tulisan Pahrol Mohd Juoi merupakan antara koleksi bacaan SC, dimana tajuk yang paling meninggalkan kesan pada jiwa dan menjadi salah satu sumber inspirasi adalah:
"Jalan Mujahadah Itu Indah".
Mujahadah atau jalan menuju Allah berasal daripada perkataan jihad ertinya berjuang bersungguh-sungguh dengan penuh kegigihan. Dijalan ini hamba yang ingin keredhaan Allah terpaksa berperang dengan musuh yang ada didalam diri sendiri iaitu hawa nafsu. Dan perang dalam diri sendiri inilah yang paling dahsyat. Ramai pendekar tersungkur, bukan oleh tusukan senjata tetapi oleh godaan wanita. Ramai pula panglima yang mundur, bukan kerana amukan musuh tetapi oleh kerlipan kuasa dan harta.
Dalam hidup ini, manusia akan berhadapan dengan dua perkara. Pertama perkara yang perlu dilakukan. Kedua perkara yang suka dilakukan. Sudah menjadi sunatullah, kedua-dua perkara itu saling bertentangan. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Contohnya, solat subuh. Bila hampir masuknya waktu subuh, perkara yang perlu kita lakukan adalah bingkas bangun, bersihkan diri, bersuci dan terus berwuduk. Itulah perkara yang perlu kita lakukan. Namun, apakah perkara yang suka kita lakukan? Ya, diikutkan rasa, kita suka terus tidur dan bersenang-senang. Subuh itu sejuk, gelap, nyaman... waktu paling enak untuk menyambung tidur. Bangun subuh ialah perkara yang perlu, manakala terus tidur ialah perkara yang suka kita buat. Yang mana satu lebih baik? Tentulah solat itu lebih baik daripada tidur. Tapi apa yang nafsu inginkan? Jawabnya, tidur! Jadi, lawanlah nafsu. Tidak ada jalan pintas, tidak ada jalan singkat. Tidak ada keajaiban melainkan perlu menempuh jalan susah. Lawan nafsu dan bingkas bangun. Ingat selalu untuk berjaya dalam hidup kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka. Tidak ada pilihan, paksa diri, paksa diri untuk melakukanya! Lawan godaan dan rangsangan yang mengamit hati kita untuk melakukan perkara yang suka dilakukan tetapi akan membawa kepada kegagalan.
Untuk berjaya dan bahagia, kita perlu melakukan perubahan. Kita perlu keluar dari zon selesa menuju ke zon mencabar kerana di zon mencabar itulah letaknya kemajuan, perkembangan dan peningkatan dalam kehidupan kita. Zon selesa ialah keadaan yang kita berada sekarang, sementara zon mencabar ialah keadaan yang kita inginkan pada masa hadapan.
Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya kita perlu bermujahadah dan berubah. Tetapi perubahan itu canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya. Oleh itu ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa di zon selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama. Kesannya? Mereka terus gagal, hina, miskin, lemah atau jahil kerana enggan berubah.
Inilah yang sering diungkapkan:
"Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!". Hidup ini adalah perubahan. Manusia tidak mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal.
Memaksa diri untik berjimat ketika berada akan menghasilkan kestabilan dalam ekonomi dan kewangannya dalam keadaan apa sekalipun. Sebaliknya orang yang boros akan terpaksa berjimat apabila gaji mula dipotong, dibuang kerja atau ditimpa musibah.
Perokok tegar akan memaksa dirinya untuk tidak merokok akan berjaya melepasi belenggu ketagihan, manakala yang terus berdegil akan merokok hinggalah diberitahu bahawa dia menghidap barah paru-paru.
Jalan Mujahadah Itu Indah.
Petikan Buku: DIMANA DIA DIHATIKU?
Penulis: Pahrol Mohd Juoi
No comments:
Post a Comment