Sunday, 8 June 2014

Habit Membentuk Karektor.

Salam keceriaan buat semua.

Di dalam meneruskan langkah perjalanan hidup ini, disebalik usaha menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam dan urusan hari ini lebih sempurna dari urusan hari semalam, SC seringkali ditemukan dengan ilmu pengetahuan tambahan yang bertandang ketika saat diri ini memerlukan pencerahan. Semasa timbul persoalan diminda ini, pasti ada saja jawapan mendatang. Alhamdulillah, semuanya anugerah daripada Maha Pencipta. Salah satu ilmu atau pencerahan yang berharga yang telah diketemukan melalui seorang sahabat seperjuangan. Beliau berkongsi petikan sebuah buku yang beliau miliki iaitu:

"Kawal PEMIKIRAN anda kerana ia akan menjadi KATA-KATA anda".
"Kawal kata-kata anda kerana ianya akan menjadi TINDAKAN anda".
"Kawal tindakan anda kerana ianya akan menjadi HABIT @ TABIAT anda".
" Kawal habit anda kerana ianya akan membentuk KAREKTOR @ WATAK anda".
"Kawal karektor anda kerana ianya akan menentukan TAKDIR anda".

SC merasakan kata-kata ini begitu memberi inspirasi dan ianya seolah-olah menjawab kemusykilan minda pada tika itu. Berdasarkan sudut pandang dan pengalaman yang boleh SC rumuskan dan kongsikan adalah:

1. Segala hasil yang kita raih hari ini memang kena-mengena dengan cara pemikiran kita iaitu bermula dengan niat kita, keinginan kita, keazaman, objektif dan matlamat kita. "It all about your mind".

2. Seterusnya kata-kata yang terbit dari bibir kita dan juga segala tindakan yang kita lakukan adalah berdasarkan apa yang kita fikirkan dan rasakan. Teringat mutiara kata Prof Dr. Muhaya iaitu "Dunia dalaman kita menentukan dunia luaran kita yakni fikiran dan emosi kita menentukan tindakan kita yang akan menentukan hasil kehidupan kita iaitu kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kewangan kita".

3. Sesuatu rutin harian atau perkara kelaziman ataupun amalan yang biasa kita lakukan secara konsisten akan menjadi HABIT @ TABIAT kita.
"Tabiat anda akan membentuk Karektor anda".
Pernah tak kita dengar orang kata? "Kau ni buang "tebiat" ke? Orang yang mengenali kita biasanya akan bertanya sekiranya kita lakukan sesuatu perkara baru yang kita tak pernah lakukan sebelum ini. Contohnya kita mendahulukan salam, bertanya khabar dan senyum bila jumpa kawan pejabat atau jiran. Sebelum ini kita tak pernah pun lakukanya. Tentulah anggapan mereka pada awalnya sesuatu yang pelik, tapi kalau setiap hari kita lakukan perkara yang sama, "kepelikan" itu akan makin berkurang dan ianya akan jadi perkara biasa. Bagi kita perkara itu telah menjadi habit dan  seterusnya karektor kita akan berubah dengan bertambahnya habit positif yang baru itu. Kalau orang kata "kau ni buang tebiat ke"?  Kita jawab kepada dia, "saya bukan buang "tebiat" tapi menambah tabiat baru.

Antara habit baru yang telah berjaya SC lakukan iaitu mengubah tabiat merokok kepada tidak merokok. Pada peringkat awalnya memang berlaku "conflic of habit". Lama-kelamaan amalan tidak merokok telah menjadi habit baru, Alhamdulillah, doakan semoga istiqamah.
SC juga telah berjaya menambah beberapa koleksi habit positif baru dalam usaha transformasi diri menjadi lebih baik. Walaupun pada permulaannya memang agak sukar tetapi alhamdulillah berkat doa, usaha, kesabaran, tawakkal,  sekarang ni boleh dikatakan memang sudah menjadi satu kebiasaan.

4. Seterusnya, karektor seseorang boleh berubah bergantung kepada perubahan kepada tabiat mereka. Pilihlah untuk melakukan amalan-amalan baik seperti amalan sunnah nabi kita SAW secara konsisten atau istiqamah seperti menunaikan solat diawal waktu dan berjemaah, solat sunat tahajud, solat sunat dhuha, beristighfar, berzikir dan sebagainya.

Berterusanlah dalam amal, kerana kemanisan hanya ada dalam menu istiqamah. Semoga kita digolongkan dalam golongan ini.

Perkongsian ini sekadar cerita dari sudut pandang dan pengalaman SC sahaja. Sama-samalah kita sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini bagi meraih kebahagiaan dunia dan juga akhirat.

Sekian. Wassalam


$C ~ Suara Cakna ~

1 comment:

  1. Sc telah beri saya satu kedesaran yg utk mengubah diri kita utk menjadi org yg berguna dan berjaya dunia akhirat adalah bukan sesuatu yg Mustahil.. Tq sc

    ReplyDelete