Kekadang apabila hati ini terdetik untuk berkongsi sesuatu dilaman sosial, tika itu juga mungkin ada seseorang yang sedang mencari maklumat atau sedang tertanya-tanya pada diri sendiri tentang persoalan yang mungkin menjurus kepada bagaimana untuk menjadi diri mereka lebih baik... ataupun apakah pilihan yang terbaik untuk dipilih takkala dihadapan masih kabur. Disaat seseorang 'pencari' itu terjumpa maklumat yang kita dikongsikan tadi, mungkin akan terdetik dihatinya "aku baru terfikir persoalan ini... namun sekarang pencerahan dan jawapannya telah muncul didepan mata". Bisik hati kecilnya.
Pernah tak perkara yang dialami oleh 'pencari' tadi berlaku pada diri kita?
Ya...hakikatnya, setiap apa yang berlaku di dalam kita mengharungi kehidupan ini, pasti ada sebab dan musabab pada setiap kisah cerita kita. Inilah perancangan Allah, bila niat kita bertemu dengan janjiNya, tiada apa yang dapat menghalangnya. Segala yang diingini pasti akan muncul apabila saat dan detiknya tiba, inilah yang perlu diyakini... hanya masa dan takdir Allah yang menentukan ianya terjadi.
Berbalik kepada ayat pertama cerita ini iaitu; "Kekadang apabila hati ini terdetik untuk berkongsi sesuatu dilaman sosial"...
Inilah yang perlu kita lakukan... iaitu berdakwah. Untuk mengajak seseorang kearah kebaikan, kita tidak perlu tunggu sehingga kita bertitle pendakwah seperti ustaz, ustazah, imam muda, pencetus ummah, ataupun guru... mungkin kita tidak berkelayakan menjadi seperti mereka. Namun hakikatnya, kita perlu menyedari yang kita semua adalah khalifah yang merupakan dai'e diatas muka bumi ini. Inilah diantara tujuan asas yang perlu dihayati kenapa manusia itu diciptakan.
Maka dengan itu, janganlah kita menghadkan diri kita di dalam menyampaikan dakwah. Sampaikanlah walaupun sepotong ayat... kita tak tahu, mungkin ianya akan menjadi pencetus ataupun penyebab kepada pembaca yang dikalangan rakan kita amnya mahupun seluruh masyarakat khasnya di dalam proses perubahan mereka kearah kebaikan. InsyaAllah.