Saturday, 25 June 2016

Kurangkan Pejam Lebihkan Celik (10 Malam Terakhir)




Pejam celik - pejam celik, 10 awal Ramadhan telah berlalu. Pejam celik 10 pertengahan Ramadhan juga telah berlalu. Pejam2 tak celik2, rupa2nya ada diantara mereka yang tak sempat menamatkan 10 akhir Ramadhan. Itulah yang telah terjadi pada sahabat kita, saudara kita, kenalan kita, mereka telah dijemput oleh Allah S.W.T. Semoga mereka ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman di sana... Aamin.

Apakah kita terlepas daripada jemputan ini?

Adakah sempat kita bertemu dengan Ramadhan tahun depan?

"Bila nafas akhir berhenti sudah
Jantung hatipun tak berdaya
Hanya menangis tanpa suara..."

"Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajalmu pasti menghampiri..."

(#lirik lagu bila tiba - ungu)

Saya berpesan pada diri sendiri dan pada sesiapa sahaja yang terbaca tulisan ini, supaya kurangkan pejam dan lebihkan celik. Ayuh sahabat semua kita tanamkan azam bagi meneruskan pecutan amal pada 10 akhir Ramadhan kali ni. Dengan niat, keazamaan, kesungguhan dan perancangan yang betul, insyaAllah kita sama2 akan mendapat keampunan dan keredhaan daripada Allah SWT.

Aamin Ya Rabbal Aalamin...


Friday, 1 April 2016

Mari Kita Tadbir Urus Baki Hayat Kita ~ Siri 1

Mari Kita Tadbir Urus Baki Hayat Kita ~ Siri 1

Assalamualaikum, Salam Ceria.

Tahukah anda tarikh lahir anda?
Tahukah anda tarikh mati anda?

Jawapanya adalah, kita hanya tahu tarikh lahir kita tetapi kita tidak tahu tarikh mati kita. Namun, satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia.

Saya kira begini, umur umat nabi Muhamad S.A.W sekitar 60-70 tahun. Katakanlah sekarang kita berumur 42 tahun, kita tolak dengan umur 65 tahun (purata), maka baki umur kita adalah 23 tahun (Jika panjang umur).

Untuk kita tadbir urus dunia, contohnya dalam konteks organisasi, kita sememangnya ada Pelan Tindakan, Visi dan Misi yang jelas, dan juga jelas apa KPI yang perlu dicapai. Kita risau dan takut sekiranya end of result kita dapat 'NI' (Need Improvement) dan kita sentiasa nak pastikan kita dapat 'EE' (Exceed Expectations). Setuju?

Tetapi, bagaimana kita tadbir urus akhirat kita? Adakah kita jelas pelan tindakan kita? Apakah kita jelas tentang Visi dan Misi kita? Apakah KPI yang kita nak capai?

Bagi memudahkan persoalan diatas dijawab, persoalan dibawah ini yang perlu dijawab, difahami, dihayati terlebih dahulu iaitu:

# Apakah Tujuan Hidup kita?

Bila kita sudah jelas tentang tujuan hidup ini, persoalan yang timbul selepas itu akan menjadi lebih mudah untuk dijawab dan ada masanya ianya terjawab dengan sendiri.

Ayuh, kita teruskan membaca "link" dibawah tentang persoalan Tujuan Hidup.

Check out this blog "Tujuan Hidup"   http://suaracakna.blogspot.com/2015/09/tujuan-hidup.html

#semogabermanfaat
#suaracakna.blogspot.com


Tuesday, 9 February 2016

Jendela Hati

Assalamualaikum, Salam Ukhwah...

Menulis diblog telah menjadi hobi  SC, bila diri terasa ada sesuatu yang bermanfaat perlu dikongsikan, SC akan mula menulis pada notebook (draft) terlebih dahulu sebelum publish dalam blog suaracakna.blogspot.com.  Kadang2 rasa nak menulis tu hadir tanpa dijemput, tanpa mengira masa, pada tika itu tajuk dan idea datang serentak. Untuk kali ini, SC cuba menulis tentang soal hati yang perlu diangkat sebagai Raja dalam kerajaan diri.

Suatu masa dahulu SC pernah bertanya kepada seorang sahabat (Sdr Azman) tentang bagaimana cara nak khusyuk dalam solat?  Jawapan Azman begitu luar biasa. Katanya: "Jika kita boleh jaga dua perkara ni, Insya Allah kita akan berjaya. Pertamanya jaga perut dan kedua jaga mata". Masa tu SC terfikir sejenak dan agak musykil untuk kaitkan soalan SC tadi dgn  jawapan Sdr Azman.

Namun selepas beberapa ketika,  akhirnya SC dapat memahami maksud yang tersirat disebaliknya. Soalnya tentang penjagaan hati. Rumusannya, apabila hati dijaga dengan baik, maka mudahlah untuk khusyuk dalam Solat.

Bagaimana untuk menjaga hati?

1. Jagalah perut. Pastikan apa sahaja yang kita makan dan minum adalah halallan toyiban.
2. Jagalah mata. Awasinya daripada melihat, memandang sesuatu yang menyuburkan nafsu.

Betulah kata-kata Sdr Azman, Mata adalah Jendela Hati. Usahlah bicara tentang kesucian Hati jika mata tidak terjaga. Bila hati dah dijaga, maka mudahlah untuk khusyuk dalam solat, Insyaallah.

#semogabermanfaat



Wednesday, 27 January 2016

Mengetuk Pintu Hati


"Bahagia bukan bererti bebas masalah. Bahagia membantu kita mencari penyelesaian atas setiap masalah. Bahagia bukan bererti lepas daripada kesulitan. Bahagia membuatkan kita berfikiran positif supaya keluar daripada setiap kesulitan".

Bahagia ataupun tidak, bergantung kepada persepsi ataupun tanggapan dan jangkaan kita terhadap sesuatu perkara. Terutama apabila kita menghadapi masalah ataupun berada dalam kesulitan. Lazimnya masalah ataupun kesulitan membuatkan kita rasa tidak bahagia. Namun ada antara kita tetap bahagia walaupun menghadapi masalah ataupun kesulitan. Mengapa?

Mereka membesarkan Allah s.w.t dalam diri mereka berbanding masalah ataupun kesulitan yang mereka hadapi. Sungguh, Allah Maha Besar, Allah Maha Mendengar, Allah juga Maha Mengetahui.

Allah s.w.t menyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:

Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (dan terserah segala urusan kami)".

(Sural Al-Imran, ayat. 173)

#cnp
#semogabermanfaat
Rujukan; Buku Mengetuk Pintu Hati
(Nota Kesedaran)


Saturday, 23 January 2016

Santapan Jasmani & Rohani

Assalamualaikum, Salam kedamaian...

Jasmani bersifat luaran (jasad), tubuh badan, ianya boleh disentuh & dilihat, mempunyai bentuk. Sepertimana yang kita tahu, kita memerlukan makanan dan minuman untuk memberi tenaga serta menguatkan jasmani dan ianya merupakan salah satu keperluan asas bagi manusia. Cuba bayangkan jika kita tidak makan dan minum selama beberapa hari, apa akan berlaku pada kita? Badan kita akan menjadi lemah, kurang bertenaga seterusnya akan menimbulkan kelesuan. Setuju?

Begitulah juga rohani kita yang juga memerlukan makanan dan minuman. Rohani adalah dalaman diri kita yang hanya dapat dilihat dengan mata hati. Menurut buku "Mengetuk Pintu Hati" tulisan Mohd Razali Kamarudin (2015); Komponen hati yang paling dalam dipanggil "fuad", yang menempatkan roh kita.

Apakah makanan bagi rohani?
Segala ibadah (amal kebaikan) yang dilakukan adalah santapan rohani. Ibadah khusus seperti solat & puasa, ibadah sunat seperti berzikir & berdoa dan ibadah umum seperti bekerja. Sekiranya santapan rohani tidak dijaga dengan baik, maka hati (jiwa) akan menjadi lemah dan mudah dikalahkan oleh musuh yang ada dalam diri manusia iaitu nafsu.
Apabila nafsu menguasai diri, maka pincanglah institusi kerajaan diri. Sifat Mazmumah menguasai diri, sukar untuk sifat Mahmudah bertamu di hati. Hati umpama Raja dalam kerajaan diri. Ibarat takhta hati telah dirampas oleh nafsu.

Sama-samalah istiqamah menjaga rohani agar kita berterusan meraih kebahagian yang hakiki. Roh yang dekat kepada Allah akan sentiasa tenang dan sihat. Hati yang tenang ialah hati yang sentiasa mengingati Allah.

Allah berfirman:
Maksudnya: Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah al-Ra'd 13:28)


#semogabermanfaat
#tintadariqalbu


Thursday, 24 December 2015

It's Life is Began at Forty???



Assalamualaikum...
Salam Sejahtera,

Pada tanggal 25 December 2015, genaplah umurku 40 tahun. Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah... Syukur kehadrat Allah SWT diatas nikmat kehidupan yang telah di kurniakan selama ini.

Terima kasih tak terhingga kepada Ibu dan Ayah tersayang... "Ya Allah Ya Tuhanku... ampunilah (dosa)ku dan (dosa) kedua ibubapaku... kasihanilah mereka berdua, sebagai mana mereka mengasihi aku sewaktu aku masih kecil. Aamiin"...

Kepada isteri tercinta dan anak2 abah tersayang. Alhamdulillah... kasih sayang kita sekeluarga terus-menerus mewangi dan terus mekar sentiasa istiqamah cinta. Agar kita sama2 berpimpin tangan menuju ke Jannah. Insya Allah...

Buat adik beradik (Abang2 & Kakak2) dan semua keluarga tersayang, juga guru-guru dan sahabat yang dikasihi. Terima kasih pada kalian semua di atas segala2nya.

Ketika melihat gambar aku berumur 1 tahun dan gambar terbaru (umur 40 tahun)... baru aku perasan ada persamaan di antara kedua gambar itu... iaitu gaya rambut sama... pendek dan hampir botak.

Pada awal tahun 2015, selepas pulang dari Tanah Suci, aku telah membuat satu keputusan untuk mengekalkan fesyen rambut pendek & hampir botak. Setiap bulan aku akan kekedai gunting rambut dan memotong rambutku guna mesin mata nombor 1.
Pada awalnya agak kekok tetapi sekarang dah selesa dengan fesyen rambut macam ni. Banyak manfaat sebenarnya.

Selepas menatap gambar berkenaan, aku terfikir satu jawapan yang tiada persoalanan... aku sebenarnya telah sampai ke fasa ke-3 kehidupan. Bak kata orang yang biasa kita dengar "The Life is Began at Forty".


Dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. Allah swt. berfirman dalam surah (al-Ahqaf: 15) yang bermaksud;

“Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15).

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.

Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?

1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia.

Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.

Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W ,” Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati”.

Ramai manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat sementara. Sejak Nabi Adam as. sehingga kini, kesemuanya telah kembali kepada Allah swt. tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak. 

Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. janganlah menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana mati boleh datang pada bila-bila masa.

#semogaistiqamah
#sentiasamujahadah
#dakwahdenganakhlak

suaracakna.blogspot.com


Saturday, 19 December 2015

Sebenarnya Kita Tahu ~ Siri ke-3

Sebenarnya Kita Tahu - Siri ke-3
Penghayatan (EQ).

Assalamualaikum, Salam Kedamaian.

Alhamdulillah syukur kehadrat Allah S.W.T di atas kesempatan yang diberikan kepada diri ini bagi meneruskan penulisan berkenaan tajuk yang agak berat pada awalnya dan akhirnya dapat dihayati  dengan izinNya. Agar ianya dapat disampaikan dengan bahasa yang mudah dan ringan, Insya Allah.

Dalam siri ke-2 sebelum ini, SC cuba sampaikan tentang peranan akal (minda) dalam memahami sesuatu ilmu. Prosesnya iaitu belajar -> memahami (tahu), ini adalah Tahap 1 (fahami ilmu).

Tahap ke-2 pula adalah (hayati ilmu) dan inilah yang SC akan cuba ceritakan dan kongsikan dalam siri ini.

Kenapa perlunya kita tahu tentang tahap-tahap ilmu ini (iaitu; fahami, hayati, amalkan, sampaikan)?

Dan apakah kaitannya dengan  persoalan pokok iaitu; bagaimana kita nak berhijrah / berubah kearah yang lebih baik?

Dalam buku Mukmin Profesional (ms: 74) ada menyatakan; Pelaksanaan perubahan diri perlukan kepada gabungan tiga elemen yang berada di dalam diri kita iaitu akal (tahu), hati (mahu) dan nafsu (mampu). Tiga elemen inilah yang akan membentuk sistem nilai, keyakinan, paradigma seterusnya tingkahlaku dan sikap seseorang. Ini bermakna untuk mengubah sikap, kita perlu terlebih dahulu mengubah akal, hati dan nafsu.

Apa yang SC boleh huraikan adalah, perubahan sikap tidak akan berlaku sekiranya kita hanya sekadar tahu sahaja kerana pengetahuan hanya berada di akal (minda). Sebagai contoh, seorang pelajar telah berjaya mendapat pangkat A (mumtaz) dalam subjek pelajaran Feqah, tetapi dia begitu sukar untuk mengerjakan solat. Kenapa perkara ini berlaku? Ini kerana ilmu yang dipelajarinya hanya sekadar berada di minda (tahu), sedangkan untuk mengamalkan ilmu yang dimilikinya, pelajar ini perlu ada penghayatan dan kemahuan (hati).

Bagi mencetuskan tindakan (amalan ilmu), yang kita perlukan bukan sekadar kefahaman tetapi perlu disertai penghayatan terhadap ilmu tadi. Penghayatan itu dirasai dan rasa itu terletaknya di Qalb (hati).

Bermakna, peranan hati (jiwa) perlu seiring dengan akal (minda). Di sinilah letaknya niat, fikir, rasa & mahu yang akan mencetuskan kepada tindakan kita. Sekiranya perkara ini kita fahami dan hayati, maka misi hijrah / perubahan sikap kita kearah lebih baik dan misi amalan sesuatu ilmu akan menjadi lebih mudah... Insya Allah.

Bak kata bijak pandai, "Apabila hati disinari nur ilmu, pancaindera lain akan terarah kepada kebaikan".

Bagaimanakah hubungkait antara hati dan minda?
Bagaimana nak kekalkan Istiqamah dalam amalan?

Jawapannya dalam siri seterusnya... Insya Allah.