Saturday, 14 March 2015

Refleksi Diri - Celik Minda & Buka Mata Hati

Moga Allah SWT menjadikan kita semua lebih mengerti dan mengenali erti sebuah kehidupan.

Seorang pelukis melihat sepohon pokok dan berkata, alangkah cantiknya pokok ini kalau aku lukiskan.
Seorang pakar perubatan akan pula berkata alangkah bertuahnya aku kalau mana-mana bahagian pokok ini dapat kuambil kujadikan ubat.
Seorang tukang kayu akan pula berkata, pokok ini boleh kupotong kayunya untuk kujadikan sesuatu.
Seorang jurufoto tentu sekali berhasrat mengabdikan kecantikan pokok ini dalam fotonya.

Inilah antara persepsi kita yang berbagai-bagai melihat sebuah kehidupan.Justeru itu, marilah kita sama-sama melihat hidup ini dari sudut keimanan kita padaNya.

Kehebatan Pencipta sepohoh pokok ini. Lihat daun, ranting, batang dan akar semuanya membawa erti tersurat dan tersirat. Keimanan, ketaqwaan dan sebagainya dan yang paling pasti kerimbunan dedaunan pokok ini memberi naungan untuk kita terus berteduh di bawahnya.

Kisah Pelepah Tamar Menangis Kerana Rasullulah SAW


(Di kawasan Raudhah di Masjid Nabawi,Madinah inilah kejadian pokok tamar menangis)

Kisah ajaib yang mendidik jiwa. Kisah ajaib yang sukar diterima akal yang terbatas. Disebabkan itu islam mendidik kita dengan konsep dipanggil sebagai 'keimanan' . Mempercayai segala sesuatu yang disyariatkan dengan hati yang tekad tanpa ragu-ragu. Jika diikutkan , banyak kisah yang menguji keterbatasan akal kita. 

Seperti kisah Nabi Muhammad saw naik ke langit ke tujuh menerima wahyu dan kisah baginda membelah bulan kepada dua dan mencatumkannya semula. 
Semua sepatutnya ditolak oleh akal. Namun, kerana bimbingan wahyu yang disulami rasa keimanan. Kita menyakini bahawa sesungguhnya tidak ada apa yang mustahil bagi Allah. 

Masjid An-Nabawi juga tidak terlepas daripada kisah ajaib ini . Antaranya sebatang pelepah tamar yang menangis. Kisah ini disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin RA seperti yang disebutkan dalam hadis Bukhari . Bahawa Rasullulah saw duduk  bersandar pada satu pelepah tamar yang dijadikan tiang masjid. Ketika sebuah mimbar dibina untuk menggantikan pelepah tamar ini, tiba-tiba terdengar suara tangisan seperti bunyi unta merengek hingga semua orang di masjid itu mendengar.

Sampai akhirnya Rasullulah saw datang dan menghampirinya. Baginda menyakinkan dan memujuknya dan akhirnya pelepah itu diam. 

Hadis ini juga diriwayatkan An-Nasai dan Imam Ahmad (lihat sahih Mukjizat al Nabi, halaman 149-161) 

Jabir RA meriwayatkan seperti disebutkan dalam hadis Bukhari bahawa :"Nabi Muhammad saw selalu bersandar pada sebatang pohon tamar ketika menyampaikan khutubah Jumaat." 

Saidina Abu Bakar As-Sidiq ra mencadangkan supaya dibina mimbar yang baru. Cadangan itu diterima Rasullulah saw . Lalu sebuah mimbar yang membabitkan 3 anak tangga dibangunkan. 
Ketika Rasullulah saw duduk di atas mimbar yang baru untuk berkhutbah, sahabat mendengar pelepah tamar itu menangis seperti anak kecil . Ada juga mengatakan bunyinya seakan-akan seekor unta merengek. 

Rasullulah saw mendekati pelepah tamar dan bertanya kenapa ia menangis. Pelepah tamar itu mengatakan ia menangis kerana tidak lagi digunakan untuk mengingati Allah swt. 

Rasullulah saw menyuruh pelepah tamar itu dikapankan dan memujuknya dengan mengatakan ia akan dibangkitkan di dalam syurga. 

Inilah satu-satunya pokok tamar di syurga yang berasal dari dunia. Tempat tumbuh pokok tamar ini didirikan sebuah tiang dan dinamakan tiang Mukhallaqah. Kerana itu, sejak Rasullulah saw memujuk pokok tamar itu, pewangi bernama 'Khaluq' sering disapukan kepadanya. 

Selepas pohon tamar itu mati, sebatang tiang didirikan sebagai tanda kewujudan pohon tamar yang dijamin syurga oleh Rasullulah saw. 

Kisah pelepah tamar ini lebih mulia jika dibandingkan dengan diri ini yang mengaku merindui Rasullulah saw , yang selalu sahaja mengungkapkan sayang dan rindu kepada Rasullulah saw tetapi sering lupa berselawat dan mengamalkan sunnah rasullulah saw yang dianjurkan baginda. 

Pernahkah kita mengalirkan air mata kerana rindu kepada Rasullulah saw sebagaimana Rasullulah saw mengalirkan air mata saat menjelang kewafatan kerana bimbang nasib umatnya pada akhir zaman ini. 

Jika sebatang pelepah tamar begitu memahami keistimewaan Rasullulah saw sehingga menangis teresak-esak mengapa kita yang berakal ini tidak berselawat dan malu mengamalkan sunnahnya.

Sumber : Bacaan BH  

Monday, 2 February 2015

Warkah Buat Tuan Guru

Assalamualaikum Tuan,

Apa khabar? Semoga tuan sekeluarga sihat sejahtera dan sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah.
Saya memohon ampun dan maaf diatas segala silap dan salah selama ini. Minta tuan halalkan segala ilmu yang diijazahkan.

Tuan Guru,

Nukilan ini adalah sekadar perkongsian perubahan diri seorang anak murid...
Alhamdulillah tahun 2015 genap umur saya 40 tahun. Kata orang 4 siri dah.
Hampir 2 tahun mengenali tuan iaitu pada bulan April 2013 dan semasa itu umur 38 tahun. Mengikuti kelas tuan selama 2 hari pada April 2013 lalu telah mencetuskan satu detik anjakan paradigma pada diri ini... Sebelum ni banyak juga kelas pembangunan diri termasuk team building telah diikuti, namun perubahan hanya berlaku agak singkat. Semangat dan bermotivasi hanya pada peringkat awal sahaja... selepas 1 @ 2 minggu kembali kepada asal.

Kaedah yang tuan ketengahkan dengan kaedah yang saya pelajari sebelum ini begitu berbeza...
Tuan telah memberikan suntikan melalui satu kaedah yang selama ini amat ditagih dan dinantikan oleh pelajar, iaitu kaedah yang berjaya merungkai persoalan ramai orang diluar sana, iaitu persoalan:

#Bagaimana Nak Istiqamah Dalam Amalan?
#Bagaimana Nak Kekal di Landasan Yang Benar?

Kaedah tuan bukan sahaja memfokuskan @ berkisar kepada persoalan Kenapa Perlu Berubah? & Bagaimana Nak Berubah?
Sekiranya hanya persoalan ini yang di titikberatkan maka samalah kelas tuan dengan kelas motivator yang lain. Pelajar hanya akan bersemangat paling lama 2 minggu... lepas tu balik asal.

Kaedah Yang Hebat yang paling terkesan pada diri saya untuk kekal Istiqamah adalah:

# Menulis impian 1 kali sehari dan dibaca 2 x sehari selama 41hari.
Ya... Inilah kunci istiqamah...

Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya impian kita ditulis mengikut kaedah diatas dan impian itu bukan ingin memiliki  kebahagian dunia sahaja seperti nak kaya, rumah besar, kereta besar tetapi kita tulis macam ni:

Saya bersyukur dan rasa gembira kerana telah berjaya:

1. Istiqamah Solat di awal waktu dan berjemaah.
2. Istiqamah membaca Al-Quran setiap hari.
3. Istiqamah Solat Dhuha setiap hari
4. Istiqamah Solat Tahajjud setiap minggu
5. Istiqamah Bersedekah diawal pagi setiap hari.
6. Istiqamah Berpuasa sunat Isnin & Khamis.
7. Istiqamah amalan berdzikir setiap hari.

Saya sudah menulisnya selama 41 hari... Alhamdulillah... hasilnya???

Sukar saya nak jelaskan hasil nya dalam bahasa yang mudah difahami...
Saya hanya mampu menyatakan bahawa
kemanisan & kelazatan itu hanya berada dalam menu Istiqamah...

Carilah Akhirat, Insha Allah Dunia Akan Cari Kita...

Jazakallah Khairan Tuan, Sifu, Murabbi.

"Kuasai Hidup"
Nukilan Hati... MSI 020215 1530hrs

Friday, 16 January 2015

UJUB

Salam kedamaian buat semua. Apa khabar anda hari ini? Doa SC semoga anda sentiasa dipermudahkan segala urusan, dilancarkan setiap perjalanan dan berbahagia "sokmo".
Telah lama rasanya jemari ini  berehat menaip dilaman ini, ianya sejak posting SC yg terakhir pada 29 September 2014.
Hari ini terasa gerak hati untuk berkongsi sesuatu perkara, ilmu, kefahaman, pengalaman yang paling terkesan di jiwa dalam tempoh itu.
Semoga perkongsian kali ini memberi kesan kepada kita dalam menjalani kehidupan ini agar sentiasa berada dilandasan yang menuju kepada keredaanNya.

APAKAH UJUB?

Ujub ialah PERASAAN kagum atas diri sendiri. Merasa diri HEBAT. Bangga diri. Terpesona dengan kehebatan diri.

Perasaan ujub boleh datang pada bila-bila masa.

Orang yang rajin ibadah merasa kagum dengan ibadahnya.
Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya.
Orang yang cantik, kagum dengan kecantikannya.
Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya.
Orang berjawatan tinggi, kagum dgn jawatannya.
Orang yg bijak berpidato, kagum dgn pidatonya,
Orang yg petah berbicara, kagum dgn kepetahannya
Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya.

Walhal semua kelebihan atau keistimewaan itu adalah milik Allah dan diberikan kepada manusia.

Sufyan at-Tsauri mengatakan ujub adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat.

Muthrif rahimahullah telah berkata, “Kalau aku tidur tanpa tahajud dan bangun dalam keadaan menyesal, adalah lebih baik dari aku bertahajud tetapi berasa kagum dengan amalan tahajud tadi.”

Seorang sahabat Nabi Abu Ubaidah al-Jarrah yang menjadi imam. Setelah selesai beliau berkata, “Syaitan sentiasa menghasut aku supaya merasa aku ini lebih hebat dari orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi imam sampai bila-bila.”

Ingatlah, semua kelebihan adalah anugerah dari Allah, oleh itu kagumlah hanya kepada Allah, bukan diri sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."
(Surah An-Nisaa', sebahagian ayat 36)

Nabi saw. bersabda, "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (perasan lawa). Lalu Allah tenggelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri).”
(HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Imam Nawawi rahimahullah berkata,”ketahuilah bahwa keikhlasan niat terkadang dihalangi oleh penyakit ujub. Sesiapa ujub dengan amalnya sendiri maka akan terhapus amalnya". (Syarh Arba’in)

WALLAHUALAM...


Sunday, 28 September 2014

Koleksi Buku Bacaanku

Salam kedamaian buat semua.

Minda perlu dibajai dengan bahan yang betul agar ia boleh terus berfikir, berfikir hebat-hebat. Apa kita baca, dengar dan lihat adalah bahan semaian yang akan mencorak pertumbuhan daya fikir kita. Hebat yang kita baca, dengar dan lihat maka hebatlah cara kita berfikir. Begitu jugalah sebaliknya.

Sama-samalah kita menuntut ilmu agar dunia menjadi ladang akhirat.

Ilmu mempunyai 4 tahap iaitu:
Memahami, menghayati, mengamalkan & menyampaikan...

#Semoga #Bermanfaat


Nota Jutawan Nota Motivasi
Irfan Khairi
Tarikh miliki: September 2008


Nota Jutawan Nota Motivasi
Irfan Khairi
Tarikh miliki: September 2008


Kuasai Hidup
Mohammad Zaini Hj Badron
Tarikh miliki: April 2013


Mudahnya Menjemput Rezeki
Fathuri Salehuddin
Tarikh miliki: Februari 2014


Di Mana Dia Dihatiku
Pahrol Mohd Juoi
Tarikh miliki: March 2014


Travelog Haji Mengusik Hati
Mohd Kamil Ibrahim & Roza Roslan
Tarikh miliki: March 2014.


R&R Di Lebuhraya Kehidupan
Zul Ramli M. Razali
Tarikh miliki: March 2014


U-Turn Ke Jalan Lurus
Zul Ramli M. Razali
Tarikh miliki: Jun 2014


Metafora Suci Dari Langit
Rohidzir Rais
Tarikh miliki: August 2014

Monday, 22 September 2014

Belaian Jiwa Buat Ibu Ayah & Anak2 UPSR 2014


Belaian Jiwa Buat Ibu Ayah & Anak2 UPSR 2014
Oleh: Ustaz Bakhtiar Fitri Hj Abdul Hamid (UBF)
23 September 2014

Puas UBF membaca dan mendengar luahan hati ibu ayah UPSR 2014 akibat ulangan dan penangguhan subjek b.i, math, sains n b.tamil.

Celaan, kutukan dan kemarahan yg berpanjangan. Mana tak marahnya, ada yg sudah "confirm" menunaikan haji dan tidak kurang juga yg akan melancong bersama keluarga, terpaksa membatalkan percutian serta meninggalkan anak2 berseorangan menghadapi peperiksaan.

Betul, anak saya tidak mengambil UPSR namun saya suka mengajak ayah ibu utk memujuk hati dan jiwa kita apabila berhadapan dgn masalah spt mana setiap kali saya mengendalikan klien2 yg bermasalah.

Kita wajar bersetuju dgn hanya kemarahan, kekecewaan dan cercaan semata2 tidak menyelesaikan masalah sedangkan anak kita tetap akan menduduki semula UPSR. Rasanya cukup-cukuplah kemarahan tersebut kerana tidak membantu sedikit pun kejayaan anak2 kita.

Lebih bahaya lagi apabila anak2 turut terpengaruh dgn EMOSI negatif ayah ibu.

Ayah ibu, berhati-hatilah....
Emosi negatif ayah ibu akan berpindah kepada anak2. Kalau dah ayah ibunya sentiasa kecewa dan marah, mana mungkin anak2 akan bersemangat menghadapi UPSR.

Semua orang berkata, segala yg berlaku ada hikmahnya. Saya melihat hikmah tersebut dlm beberapa dimensi.

1. Tahniah buat anak2 UPSR. Doa utk anak2 berterusan selama 1 bulan wlupun telah selesai UPSR. Ibu ayah, saya nk khabarkan bhw semua org sedang mendoakan kejayaan anak2 kita semua hingga ke saat ini. Beruntungnya apabila doa kpd anak2, ibu ayah juga akan menerima tempias rahmat doa drpd org ramai yg tidak putus2.

Saya teringat jenazah mh17. Ahli keluarga menangisi kematian tetapi hikmahnya sgt luar biasa. 1 dunia sedekahkan fatihah buat mereka. Kita yg tidak kenal mereka turut sedekahkan fatihah. Bahkan diadakan solat jenazah ghaib. Berapa ramai pula yg solatkan jenazah dan mengiringi mereka ke kubur. Bagaimana pula kematian kita nnt. Siapa yg akan solatkan jenazah kita dan mengiringi kita ke kubur. Maka betullah kata org setiap kejadian a
da hikmahnya.

2. Kelebihan anak UPSR 2014 ialah mereka akan menduduki UPSR SEBENAR sebanyak 2 kali. Pesan kpd anak2 jgn ulang kesilapan yg sama. Inilah peluang utk menebus kesilapan yg telah dilakukan sebelum ini.

3. Sudah tentu soalan UPSR kali kedua lebih mudah utk dijawab insya Allah. Kenapa? Satu, kerana anak2 pernah menjawab UPSR sebelum ini kira2 sebulan yg lps. Dan kali ini mereka menjawab pula buat kali kedua. Logiknya, 1 perkara yg berulang byk kali lebih memudahkan anak2 menjawab soalan. Ditambah pula dgn latih tubi.

4. Pada andaian saya (bukan hasutan), Insya Allah keputusan UPSR 2014 nnt akan lebih ramai murid yg lulus dgn cemerlang. Ikut psikologi, bagaimana kjaan boleh berhadapan dgn ibu ayah yg sedang marah kerana anak2 terpaksa mengulang UPSR sekiranya keputusan anak2 merosot. Sudah pasti ibu ayah beranggapan UPSR kali pertama soalan lebih mudah dan anak2 menjawab lebih baik. Adakah kjaan sanggup mengambil risiko dicerca oleh rakyat?

Nantikan shj wahai anak2, keputusan anda yg cemerlang. Insya Allah bilangan A akan bertambah sama ada A mata pelajaran ataupun 5A keputusan keseluruhan UPSR. Ini sekadar bacaan psikologi saya shj. Apapun jgn hanya bergantung kpd andaian ini semata-mata kerana yg lebih penting teruskan usaha.

5. Seperkara yg sgt membantu ayah ibu, anak2 akan berterusan  buat kebaikan selama 2 minggu lg ketika bingkisan ini dinukilkan. Ibu ayah bleh gunakan senjata UPSR utk mengingatkan anak2, klu x solat, melawan ayah ibu nnt susah nk menjawab soalan dlm UPSR. Mudah-mudahan dgn sbb pengulangan dan penangguhan UPSR, Allah memanjang kebaikan yg anak2 kita lakukan serta kekal menjadi amalan hidup mereka.

Buat ayah ibu...

Terus memberi motivasi kpd anak2 dgn menambahkan lg hadiah kejayaan anak2.

Pihak sekolah dan surau masjid adakan kembali majlis solat hajat utk mengembalikan mood UPSR.

Pastikan di rumah ibu ayah dan anak2 yg lain buat solat hajat dan sentiasa memberi semangat.

Saya pasti akan ada ibu ayah tidak bersetuju dgn saya 100% namun sekurang kurangnya nampakkan jugak
kebaikan kpd anak2 kelebihan mereka mengulang kembali UPSR.

Saya juga pasti akan ada ibu ayah mengatakan "ustaz boleh la bg nasihat sedangkan anak tak exam".
Namun, sekiranya anak saya turut mengulang kembali UPSR, sekurang-kurangnya saya nak ibu ayah turut berkongsi pemikiran yg sama dgn saya.

Buat ayah ibu dan anak2, saya sentiasa doakan kejayaan dlm UPSR serta kejayaan kehidupan dunia dan akhirat. Amin...

Teruskan mendidik anak2 agar tangan2 mereka mampu memimpin kita masuk ke dalam syurga.

Hidup mati biar bererti
Ustaz Bakhtiar Fitri Hj Abdul Hamid (UBF)

Saturday, 20 September 2014

Koleksi Cerita Tauladan - Kisah Imam Ahmad & Si Pembuat Roti

Assalamualaikum, Salam kedamaian. Kali ini SC nak kongsikan satu kisah berkenaan kelebihan beristighfar. Semoga mendapat manfaaat.

“Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya.” (Riwayat Al-Imam Abi Daud).

InsyaAllah, makbul doa kita jika sentiasa terus menerus beristighfar kepadaNya. Untuk merungkaikan kefahaman kelebihan istighfar, lihat sahaja kisah mengenai Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.

Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya. Keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi. Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.
Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.

Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.
Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. Maka si pembuat roti menjawab, “Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi.”
Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?”
Jawab lelaki itu, “Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal.”
Maka kata Imam Ahmad, “Sayalah orangnya. Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal. Demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu.”

Lihat sahaja betapa agungnya kuasa Allah memakbulkan doa si pembuat roti itu untuk menemukan dia dengan Imam Ahmad. Berkat istighfar yang sentiasa dilakukan dengan hati yang ikhlas, tuhan telah memakbulkan doa si pembuat roti tersebut. Nyata kelebihan istighfar begitu besar buat kita, dan ikhlaskan hati kita untuk beristighfar kepadaNya, insyaAllah, Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.