Thursday, 9 August 2018

Pada Keseimbangan Di Situ Rahsia Ketenangan

Assalamualaikum Salam Kasih Sayang

Jiwa yang tenang merupakan anugerah daripada Allah SWT. Kita hambaNya yang faqir hanya perlu memenuhi asbab untuk Allah menganugerahkannya.

Pakaian ketenangan adalah Sabar, Syukur, Redha, Tawakal. Inilah sifat yang menjadi penentu kepada tahap ketenangan. Meningkatnya nilai sifat mahmudah ini dalam diri kita adalah selari peningkatan tahap ketenangan.

Saat kita ada sesuatu, syukurilah. Saat kita hilang sesuatu, sabar & redhalah. Saat merasakan kita berhak keatas sesuatu kembalikan pemilikan itu kepada Allah kerana kita tiada daya dan upaya untuk memastikan sesuatu terjadi. Tawakal kita hanya kepadaNya.

#SyukurSabarRedhaTawakal
#MoveOnTowardsSyuhudiyah


Tuesday, 17 July 2018

Perjalanan Menuju Fitrah - Siri 1



Perjalanan Menuju Fitrah

Siri 1 - Mukaddimah

Assalamualaikum Salam Ukhwah Salam Kasih Sayang 🌷💖

Apa saja yang ditaip oleh jari ini adalah cetusan ilham dariNya jua. Hamba yang faqir tiadalah dapat mengerakkan semuanya melainkan dengan tadbirNya.

Kaedah atau Methodologi adalah berbeza kerana mengikut sudut pandangan yang pelbagai, namun prinsip tetaplah tidak berubah. "Packing"nya mungkin berbeza tetapi isikandungannya tetap sama. Secara asasnya beginilah apa yang kita fahami tentang kepelbagaian kaedah penyampaian ilmu, bukan?

Pendekatan santai tapi sampai merupakan kaedah penyampaian ilmu yang amat didambakan. Ilmu yang agak berat & sukar jika disampaikan dengan bahasa yang ringan & santai adalah pendekatan terbaik yang mungkin menjadi salah satu asbab pencetus kefahaman & keyakinan.

Sebelum kita menyusuri langkah dalam apa jua pengajian, yang paling asas perkara yang perlu difahami adalah dimana letak duduknya ilmu itu sendiri.
Asas ini amat penting supaya perjalanan kita sentiasa terarah dan tidak mudah tersasar. Ini adalah kerana setiap cabang2 ilmu itu mempunyai dimensi & seni kefahaman & perasaaan yang berbeza. 

Sepertimana yang kita faham iaitu Iman, Islam & Ihsan yang merupakan kesempurnaan dalam Agama. Ianya perlu difahami secara holistik bagi ketiga2 Rukun Al-Din ini dan letak duduknya. Pecahan ilmunya adalah Akidah, Feqah dan Tasawuf, manakala tempat duduknya pula adalah pada Akal, Jasad dan Rohani.

Setiap cabang ilmu ini memiliki seni² kefahaman yang tersendiri namun akhirnya ketiga² ilmu ini perlu disepadukan dan menjadi pakaian kesempurnaan dalam beragama. Pakaian mukmin adalah Iman, Islam, Ihsan manakala pekerjaan mukmin adalah dakwah (rahmatan lil alamin).

#SuaraCakna (Julai 2018)
#MoveOnTowardsSyuhudiyah


Tuesday, 19 June 2018

Selawat Nurizzati & Qasidah Air Mata Paling Berharga



Selawat Nurizzati & Qasidah Air Mata Paling Berharga
(Ustaz Neezam Al-Banjari)

"Allaahumma shalli wasallim wabarikalla ala sayyidinaa Muhammad annuuridz dzaatii wassirrissaarii fii saairil asmaai wash shifaat"

Duhai temanku yang beriman, rindukah hati kalian
Buat Nabi akhir zaman, yang menangis rindu kalian

Membasahi air mata, janggutnya yang mulia
Bagai permata jatuh keriba,  mengeletar tubuh yang sasa

Sahabat memberanikan diri, tampil bertanyaMu Nabi
Apa gerangan tidak terhenti, menangis hingga risaunya kami

Duhai teman kumerindui, kekasih yang kusayangi
Duhai taulan kumerindui, kekasih yang kusayangi
Tidak tertahan rindu dihati, ingin bertemu mereka nanti

Soal sahabat yang budiman, aduhai kekasih Tuhan
Apakah kami yang dimaksudkan, jawapnya adalah bukan
Akan tetapi ku merindukan, mereka yang bakal beriman
Selepas wafat bukan sezaman, yakin percaya kepada Tuhan
Belum pernah dapat melihat, wajahku kerna terlambat
Akan tetapi cintanya kuat, Oh rindunya kepada umat
Oh rindunya kepada umat, Oh rindunya kepada umat

Air mata menjadi berharga, jika mengalir kerana cinta
Kepada Allah jua RasulNya, akan dinaung Arash Ta'ala
Airmata mengingat dosa, memelihara dari siksa
Api neraka bagi tuannya, terselamat dari siksa


#MoveOnTowardsSyuhudiyah🌷💖


Wednesday, 13 June 2018

Aidilfitri, Kembali Kepada Fitrah



Aidilfitri, Kembali Kepada Fitrah
#BicaraSantaiSuaracakna

Assalamualaikum Salam Kerinduan, Salam Kasih Sayang...

Bicara ini diperkalamkan, pandangan ini diperlihatkan, bisikan ini diperdengarkan, lantaran itu tulisan ini mengikut gerak & tadbir sepertimana ianya diper.......kan.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, anugerah terindah kurniaan Allah SWT kepada kita umat baginda Nabi Muhammad SAW. Ramadhan merupakan bulan tarbiyah Rohani. Maka, bergraduasinya kita daripada Universiti Ramadhan sejurus tibanya Syawal.

Manakala Syawal pula adalah bulan kita kembali kepada fitrah, yakni 'Fitrah Rohani'.

Maka timbul persoalan apakah Fitrah bagi Rohani?
Jawapanya, Fitrah bagi Rohani adalah menyaksikan (memandang) Ilahi.

Setiap manusia di dalam batin kesedarannya mendengar pertanyaan Allah, sebagaimana yang difirmankan dalam Al-Quran: “Alastu bi Rabbikum? Qaalu balaa, syahidna”.Apakah Aku ini (Allah) bukan Tuhanmu? Dan ia (jiwa) menjawab: “Ya, kami telah naik saksi”. 
Kesan dari ayat Al-Quran tadi dapat memberi pengertian bahawa manusia sejak ia masih dalam Alam Roh ia mengakui dan menyaksikan Allah.

Rohani tidak akan girang selagi tidak kembali kepada fitrah iaitu memandang Ilahi. Ini adalah bicara memandang bukan dengan Basar (mata kepala) tetapi dengan Basirah (Mata Hati).

Persoalannya, adakah Rohani kita telah kembali syuhud kepada Ilahi?

Guru Pembimbing kita telah memperihalkan perkara ini sebegini:

"Jika hatimu kelam, bukan kerana tiadanya NUR, sebaliknya ia dek hatimu yang tertutup jendelanya. Itu sahaja. Buka sahaja jendela itu, pasti terSYUHUD dirimu kpd-Nya lantaran NUR yang menerangi segenap ruang rohani."

Semoga Syawal kali ini kita benar benar kembali kepada FITRAH.


#MoveOnTowardsSyuhudiyah
#BicaraSantaiSuaracakna


Sunday, 3 June 2018

Istiqamah 10 Akhir Ramadhan



Assalamualaikum... Salam Ukhwah, Kasih Sayang.

Pejam celik - pejam celik, 10 awal Ramadhan telah berlalu. Pejam celik 10 pertengahan Ramadhan juga telah berlabuh tirai. Kini, masih berbaki 10 hari lagi sebelum Ramadhan tahun ini meninggalkan kita.

10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan  malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan Hadis Rasulullah s.a.w  di antaranya firman Allah s.w.t.

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya [Al Qur’an] pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. "Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.
Malam itu [penuh] kesejahteraan sampai terbit fajar."
(Surah Al Qadr)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Carilah malam Lailatul Qadar pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.” (Bukhari dan Muslim)

Ayuh sahabat semua kita tanamkan azam bagi meneruskan pecutan amal pada 10 akhir Ramadhan kali ni. Dengan niat, keazamaan, kesungguhan dan perancangan yang betul, insyaAllah kita sama2 akan mendapat penampunan dan keredhaan daripada Allah SWT. 

Dan natijah akhirnya moga-moga kita semua dapat mencapai KPI Ramadhan iaitu "LA'ALLAKUM TATTAQUN". InsyaAllah.

Aamin Ya Rabbal Aalamin...


Tuesday, 29 May 2018

Koleksi Motivasi Whatapps - Tersentap Tapi Bermakna

Assalamualaikum... Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang

Masa kecil-kecil, adik beradik tidur bersama. Bila sudah besar, bilik masing-masing. Bila sudah kahwin, rumah masing-masing. Bila sudah tua, seorang demi seorang adik-beradik pergi, tiada lagi bising. Mulanya berkumpul, penutupnya kubur masing-masing.

Wahai Adik-Beradikku, Wahai Anak Menantuku, Wahai Saudara Maraku, Wahai Sahabat-Sahabatku. Disebabkan kubur masing-masinglah, kita selalu kena saling berpesan-pesan. Jika satu kubur boleh juga kita tolong-menolong. Ingatlah, disana tiada abang, kakak, adik. Hanya kita dan amal kita. Bersedia selalu, bersiap selalu. Malaikat Maut tidak lihat tua, muda atau bayi. Tiba masa ia tetap menjalankan perintah tanpa menunda. Jika kita ingat mati, kita org yg bijaksana. Alam Barzakh Permulaan Kehidupan Yg Sebenar.

Buat baik dgn org tak semestinya org akan hargai. Tetapi ALLAH akan membalas kebaikan yg kita buat. Hormat org tak semestinya kita akan dihormati. Tetapi ALLAH melihat itu perbuatan yg mulia. Buat apa sahaja kebaikkan tak semestinya org akan balas dgn baik. Maka berilah kebaikkan bukan kerana orgnya, tetapi kerana ALLAH SWT. Buat baik bukan kerana kita rasa kita org baik, tetapi  kerana kita mahu jadi terbaik disisi ALLAH pemilik semua yg baik.

Semoga bermanfaat.
#BicaraSantaiSuaraCakna


Monday, 28 May 2018

Muhasabah Selepas 10 Hari Ramadhan



Assalamualaikum, Salam Ukhwah, Salam Kasih Sayang.

Ketika masuk bulan Rejab, umat Islam dianjurkan untuk memohon keberkatan hidup kepada Allah SWT. Kita dianjurkan untuk memohon doa selama bulan Rejab agar dapat bertemu bulan mulia Sya‘ban dan Ramadhan.

Adapun lafaz doa yang lazim dibaca adalah:

“ALLAAHUMMA BAARIKLANAA FII RAJABA SYA’BAANA WA BALLIGHNA RAMADHANA.”

Artinya, “Ya Allah, berkatilah kami pada Bulan Rejab dan Bulan Sya’ban. Sampaikan kami dengan Bulan Ramadhan.”

Alhamdulillah, hari ini kita telah berada dalam bulan yang mulia dan telah melepasi fasa 10 hari permulaan Ramadhan & kini kita memasuki fasa kedua iaitu 10 hari pertengahan pula.

Wahai saudaraku, marilah sama2 kita muhasabah diri yang fakir ini.
Kita tanya pada diri kita, apakah amalan / ibadah yang telah dilaksanakan 10 hari yang lalu.
Kita tanya pada diri tentang bagaimanakah untuk lipatgandakan serta meningkatkan kualiti ibadah kita?

Ayuh saudaraku mari kita "flashback" 10 hari sebelum ini, dengan bertanyakan soalan pada diri sendiri.

⏭ Bagaimanakah solat 5 waktu kita? Adakah kita solat berjemaah setiap waktu? Adakah tingkatan kualiti solat kita meningkat?

⏭ Bagaimana dengan bacaan Al'Quran kita? Istiqamah atau sebaliknya?

⏭ Bagaimana sedekah kita? Adakah kita berterusan menghulur walaupun hanya RM1 setiap hari? Ataupun kita masih berkira2 nak hulur antara RM10 ataupun RM50?

⏭ Bagaimana pula qiamulai kita?
Adakah waktu sahur telah dimanfaatkan sebaik2nya? Ataupun kita sia-siakan peluang ini?

⏭ Akhirnya tanya diri kita, adakah semua amalan yang kita telah laksanakan sebelum ini sudah mencapai kepada niat yang kita lafazkan dipermulaannya atau telah mencapai tujuan ibadah itu iaitu; "LILLAHITAALA" (Hanya kerana Allah SWT)?

Ayuh, kita bermuhasabah... dan melipatgandakan usaha kita... masih belum terlambat wahai saudaraku sekalian...

Seperti mana yang kita sedia maklum dan sering kita dengar iaitu "10 HARI PERTAMA ADALAH RAHMAT, 10 HARI KEDUA MAGHFIRAH (PENGAMPUNAN), DAN 10 HARI KETIGA TERBEBAS DARI API NERAKA".

Semoga kita istiqamah meningkatkan kualiti segala ibadah yang kita lakukan.
Semoga kita ikhlaskan niat ibadah hanya kerana Allah SWT.
Semoga segala ibadah kita di bulan yang mulia ini diterima Allah SWT.
Semoga segala dosa kita ampunkan oleh Allah SWT.

Dan natijah akhirnya moga-moga kita semua dapat mencapai KPI Ramadhan iaitu "LA'ALLAKUM TATTAQUN". InsyaAllah.

Wallahuallam...