Salam Sejahtera,
Diantara banyak-banyak perkongsian daripada group whatapps dan group telegram yang SC sertai, terdapat satu artikel yang agak panjang telah dikongsikan oleh seorang sahabat baru-baru ini. Ianya begitu menarik minat SC untuk terus membacanya sehingga ke noktah yang terakhir cerita itu. Artikel yang ditulis oleh seorang yang hebat dalam bidang penulisan tanahair iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi.
Selepas membaca berulang kali, cuba memahami dan cuba menghayati, SC terasa ingin berkongsi artikel yang telah menyentuh hati sanubari ini kepada sahabat-sahabat yang lain. Mula-mulanya nak copy dan paste sahaja dalam group whatapps dan telegram, tetapi memandangkan ianya agak panjang, lebih baik rasanya SC abadikannya dalam blog ini suaracakna.blogspot.com dengan harapan moga-moga ianya dapat dimanfaatkan semaksima mungkin.
Selamat membaca... Semoga bermanfaat...
"Tanda Lailatul Qadar Pada Diri"
Tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Kata sesetengah riwayat pada malam itu, tidak sejuk, tidak panas. Pada keesokannya, mentari seolah-olah malu untuk bersinar. Teduh sahaja kelihatannya. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa.
Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam-malam tertentu. Lengkap dengan dakwa dan dalilnya. Pada tahun lalu pernah saya menerima SMS, betapa ada sahabat-sahabat yang merasa kesal kerana “terlepas” malam Al Qadar.
Satu SMS menyatakan,” ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa. Rasa rugi kalau terlepas!”
Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan Al Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya.
Lalu saya balas SMS itu dengan kata, “ jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi “hamba” malam Al Qadar, yang kesungguhan ibadah hanya tertumpu pada malam itu sahaja.”
Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah?
Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat dan hebat.
Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas “malam tadi” (malam yang dirasakan malam Al Qadar) apakah sudah berubah… terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan?
Jika ya, ya… kita telah mendapat malam Al Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya… malam Al Qadar sudah menjadi milik kita!
Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah.
Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas.
Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”. Firman Allah:“Dan beruntunglah orang yang membersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams 91: 9-10)
Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya.
Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya.
Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.
Begitulah penjejak dan penemu Malam Al Qadr yang utama dan pertama – Rasulullah SAW. Setelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’.
Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliyah hinggap pada hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.
Sejak berbulan-bulan baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.
Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.
Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!
Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam.
Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.
Apakah malam Al Qadar 1436 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?
Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu.
Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, seolah-olah setiap malam adalah ‘malam Al Qadar’. Al Qadar boleh datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini (1436 h) atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…
Persediaan menemuinya bukan dibuat semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!
Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku… Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim.
Bukan siapa kita, tapi apa yang kita lakukan walau siapapun kita, yang bakal menetukan siapa kita hari ini.
Tuesday, 14 July 2015
Tanda Lailatul Qadar Pada Diri
Sunday, 12 July 2015
U-TURN KE JALAN LURUS
"Pengajaran hebat dalam perubahan diri"
Buku tarbiah rohani yang berjudul U-TURN KE JALAN LURUS tulisan Ustaz Zul Ramli M. Razali adalah merupakan antara koleksi bacaan SC. Peyampaiannya yang santai dan mesejnya meninggalkan kesan mendalam pada jiwa juga menjadi pedoman dalam mengharungi kehidupan seharian.
"Petikan Mukadimah m/s: xiv"
Pusingan U ke Jalan Betul.
Setiap manusia pernah terbabas dan tersalah jalan. Apa yang membezakan orang cemerlang dan orang gagal ialah orang cemerlang menemui kembali jalan betul, manakala yang gagal akan terus berada dijalan salah dan tidak menemui mana ruang untuk kembali.
Amat penting bagi manusia mencari ruang kembali, manakah lorong U-Turn untuk masuk semula ke laluan jalan yang betul. Dimanakah dot pusingannya?
# Manusia tidak tahu tentang salahnya sehingga disedarkan.
# Mereka tidak mahu berbuat baik sehinggalah disedarkan.
# Mereka tidak mampu cemerlang sehinggalah disedarkan.
Semua mengenai kesedaran mendalam...
Kesedaran perlu untuk terus dipupuk. Racunnya adalah lupa. Tenaganya pula adalah peringatan dan pengajaran.
Oleh itu manusia perlu kepada peringatan dan pengajaran bagi menawarkan racun kelupaan, juga mengekalan tenaga perubahan supaya berterusan dalam hidup.
Semoga bermanfaat.
Saturday, 27 June 2015
Kita Semua Adalah Khalifah
Kekadang apabila hati ini terdetik untuk berkongsi sesuatu dilaman sosial, tika itu juga mungkin ada seseorang yang sedang mencari maklumat atau sedang tertanya-tanya pada diri sendiri tentang persoalan yang mungkin menjurus kepada bagaimana untuk menjadi diri mereka lebih baik... ataupun apakah pilihan yang terbaik untuk dipilih takkala dihadapan masih kabur. Disaat seseorang 'pencari' itu terjumpa maklumat yang kita dikongsikan tadi, mungkin akan terdetik dihatinya "aku baru terfikir persoalan ini... namun sekarang pencerahan dan jawapannya telah muncul didepan mata". Bisik hati kecilnya.
Pernah tak perkara yang dialami oleh 'pencari' tadi berlaku pada diri kita?
Ya...hakikatnya, setiap apa yang berlaku di dalam kita mengharungi kehidupan ini, pasti ada sebab dan musabab pada setiap kisah cerita kita. Inilah perancangan Allah, bila niat kita bertemu dengan janjiNya, tiada apa yang dapat menghalangnya. Segala yang diingini pasti akan muncul apabila saat dan detiknya tiba, inilah yang perlu diyakini... hanya masa dan takdir Allah yang menentukan ianya terjadi.
Berbalik kepada ayat pertama cerita ini iaitu; "Kekadang apabila hati ini terdetik untuk berkongsi sesuatu dilaman sosial"...
Inilah yang perlu kita lakukan... iaitu berdakwah. Untuk mengajak seseorang kearah kebaikan, kita tidak perlu tunggu sehingga kita bertitle pendakwah seperti ustaz, ustazah, imam muda, pencetus ummah, ataupun guru... mungkin kita tidak berkelayakan menjadi seperti mereka. Namun hakikatnya, kita perlu menyedari yang kita semua adalah khalifah yang merupakan dai'e diatas muka bumi ini. Inilah diantara tujuan asas yang perlu dihayati kenapa manusia itu diciptakan.
Maka dengan itu, janganlah kita menghadkan diri kita di dalam menyampaikan dakwah. Sampaikanlah walaupun sepotong ayat... kita tak tahu, mungkin ianya akan menjadi pencetus ataupun penyebab kepada pembaca yang dikalangan rakan kita amnya mahupun seluruh masyarakat khasnya di dalam proses perubahan mereka kearah kebaikan. InsyaAllah.
Monday, 8 June 2015
Membetulkan Pandangan Mata
Nabi Musa a.s melihat bangkai seekor anjing yang mati di padang pasir. Sahabat-sahabatnya menutup hidung malah ada yang loya dengan keadaan mata anjing yang hampir pecah, isi perut yang terburai..!
Akan tetapi Nabi Musa berkata,
"ALANGKAH PUTIHNYA GIGI ANJING ITU..!"
Sahabat-sahabatnya menegur bagaimana Nabi Musa boleh berkata demikian? Lalu Nabi Musa menjawab,
"AKU SEDANG BELAJAR MELIHAT KEBAIKAN DAN KECANTIKAN DI DALAM KEBURUKAN..!"
Semoga kita semua boleh melihat kebaikan di dalam diri seseorang waima MUSUH KITA sekalipun. InsyaAllah! Hati kita akan bertambah senang dan tenang..!
Jadilah seperti LEBAH..! Walaupun hidup di dalam lautan sampah, BUNGA juga yang dicarinya..!
Janganlah jadi seperti LALAT..! Walaupun hidup di taman yang indah, SAMPAH jua yang dinantinya..!
Semoga ikatan kita sesama insan akan lebih erat dan harmoni tanpa ada rasa dengki, irihati dan benci-membenci ..!
"SEKIRANYA KITA MELIHAT SESUATU YANG BURUK PADA ORANG LAIN
IA ADALAH CERMINAN UNTUK DIRI KITA..!
KERANA HANYA ORANG YANG
HATINYA BERSIH, SELALU MELIHAT KEBAIKAN PADA ORANG LAIN..!"
R A W A T B A D A N Y A N G
S A K I T D I R U M A H S A K I T
C U C I H A T I Y A N G
L E M A H D I R U M A H A L L A H
Ajak-mengajak semua umat 100% mengukuhkan hubungan dengan masjid. Itu ialah Pasaraya Iman.
Hanya 1 Jam Sahaja
- tanpa kemarahan,
- tanpa hati yang jahat,
- tanpa pikiran negatif,
- tanpa memburukkan orang,
- tanpa kerakusan,
- tanpa boros,
- tanpa kesombongan,
- tanpa berbohong,
- tanpa kepalsuan….
1 jam berikutnya ……
1 jam berikutnya lagi….
1 jam berikutnya lagi…dan terus-menerus..
- dengan kasih,
- dengan sukacita,
- dengan kesabaran,
- dengan kelembutan,
- dengan kemurahan hati,
- dengan kerendahan hati,
- dengan penguasaan diri,
- dengan ketekunan,
- dengan tawakal,
- dengan al-ihsan,
1 jam berikutnya
1 jam berikutnya lagi .
Saturday, 14 March 2015
Refleksi Diri - Celik Minda & Buka Mata Hati
Moga Allah SWT menjadikan kita semua lebih mengerti dan mengenali erti sebuah kehidupan.
Seorang pelukis melihat sepohon pokok dan berkata, alangkah cantiknya pokok ini kalau aku lukiskan.
Seorang pakar perubatan akan pula berkata alangkah bertuahnya aku kalau mana-mana bahagian pokok ini dapat kuambil kujadikan ubat.
Seorang tukang kayu akan pula berkata, pokok ini boleh kupotong kayunya untuk kujadikan sesuatu.
Seorang jurufoto tentu sekali berhasrat mengabdikan kecantikan pokok ini dalam fotonya.
Inilah antara persepsi kita yang berbagai-bagai melihat sebuah kehidupan.Justeru itu, marilah kita sama-sama melihat hidup ini dari sudut keimanan kita padaNya.
Kehebatan Pencipta sepohoh pokok ini. Lihat daun, ranting, batang dan akar semuanya membawa erti tersurat dan tersirat. Keimanan, ketaqwaan dan sebagainya dan yang paling pasti kerimbunan dedaunan pokok ini memberi naungan untuk kita terus berteduh di bawahnya.
Kisah Pelepah Tamar Menangis Kerana Rasullulah SAW
(Di kawasan Raudhah di Masjid Nabawi,Madinah inilah kejadian pokok tamar menangis)
Kisah ajaib yang mendidik jiwa. Kisah ajaib yang sukar diterima akal yang terbatas. Disebabkan itu islam mendidik kita dengan konsep dipanggil sebagai 'keimanan' . Mempercayai segala sesuatu yang disyariatkan dengan hati yang tekad tanpa ragu-ragu. Jika diikutkan , banyak kisah yang menguji keterbatasan akal kita.
Seperti kisah Nabi Muhammad saw naik ke langit ke tujuh menerima wahyu dan kisah baginda membelah bulan kepada dua dan mencatumkannya semula.
Semua sepatutnya ditolak oleh akal. Namun, kerana bimbingan wahyu yang disulami rasa keimanan. Kita menyakini bahawa sesungguhnya tidak ada apa yang mustahil bagi Allah.
Masjid An-Nabawi juga tidak terlepas daripada kisah ajaib ini . Antaranya sebatang pelepah tamar yang menangis. Kisah ini disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin RA seperti yang disebutkan dalam hadis Bukhari . Bahawa Rasullulah saw duduk bersandar pada satu pelepah tamar yang dijadikan tiang masjid. Ketika sebuah mimbar dibina untuk menggantikan pelepah tamar ini, tiba-tiba terdengar suara tangisan seperti bunyi unta merengek hingga semua orang di masjid itu mendengar.
Sampai akhirnya Rasullulah saw datang dan menghampirinya. Baginda menyakinkan dan memujuknya dan akhirnya pelepah itu diam.
Hadis ini juga diriwayatkan An-Nasai dan Imam Ahmad (lihat sahih Mukjizat al Nabi, halaman 149-161)
Jabir RA meriwayatkan seperti disebutkan dalam hadis Bukhari bahawa :"Nabi Muhammad saw selalu bersandar pada sebatang pohon tamar ketika menyampaikan khutubah Jumaat."
Saidina Abu Bakar As-Sidiq ra mencadangkan supaya dibina mimbar yang baru. Cadangan itu diterima Rasullulah saw . Lalu sebuah mimbar yang membabitkan 3 anak tangga dibangunkan.
Ketika Rasullulah saw duduk di atas mimbar yang baru untuk berkhutbah, sahabat mendengar pelepah tamar itu menangis seperti anak kecil . Ada juga mengatakan bunyinya seakan-akan seekor unta merengek.
Rasullulah saw mendekati pelepah tamar dan bertanya kenapa ia menangis. Pelepah tamar itu mengatakan ia menangis kerana tidak lagi digunakan untuk mengingati Allah swt.
Rasullulah saw menyuruh pelepah tamar itu dikapankan dan memujuknya dengan mengatakan ia akan dibangkitkan di dalam syurga.
Inilah satu-satunya pokok tamar di syurga yang berasal dari dunia. Tempat tumbuh pokok tamar ini didirikan sebuah tiang dan dinamakan tiang Mukhallaqah. Kerana itu, sejak Rasullulah saw memujuk pokok tamar itu, pewangi bernama 'Khaluq' sering disapukan kepadanya.
Selepas pohon tamar itu mati, sebatang tiang didirikan sebagai tanda kewujudan pohon tamar yang dijamin syurga oleh Rasullulah saw.
Kisah pelepah tamar ini lebih mulia jika dibandingkan dengan diri ini yang mengaku merindui Rasullulah saw , yang selalu sahaja mengungkapkan sayang dan rindu kepada Rasullulah saw tetapi sering lupa berselawat dan mengamalkan sunnah rasullulah saw yang dianjurkan baginda.
Pernahkah kita mengalirkan air mata kerana rindu kepada Rasullulah saw sebagaimana Rasullulah saw mengalirkan air mata saat menjelang kewafatan kerana bimbang nasib umatnya pada akhir zaman ini.
Jika sebatang pelepah tamar begitu memahami keistimewaan Rasullulah saw sehingga menangis teresak-esak mengapa kita yang berakal ini tidak berselawat dan malu mengamalkan sunnahnya.
Sumber : Bacaan BH